KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pengundi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang ada 2 pilihan iaitu Umno dan DAP.
“Pada pilihan raya umum akan datang, pengundi akan dihidangkan dengan dua pilihan, sama ada Umno diketuai BN atau Pakatan Harapan pimpinan DAP.
“Ini adalah realiti yang dihadapi oleh pengundi seperti diperjelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” kata menteri komunikasi dan multimedia dalam blognya.
Menurutnya, BN wujud di negara ini lebih daripada 40 tahun manakala pembangkang melancarkan 5 pakatan dalam tempoh 26 tahun dan ia tidak pernah kekal lebih daripada 2 PRU.
“Pengundi perlu menimbang apa yang BN boleh menawarkan berbanding apa yang boleh ditawarkan oleh Pakatan Harapan,” katanya.
Bendahari Umno itu berkata pada PRU 2013, Umno muncul sebagai rakan dominan dalam parti pemerintah BN manakala DAP dalam pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat.
Beliau berkata dengan terkuburnya Pakatan Rakyat dan penubuhan Pakatan Harapan dan juga PAS tidak lagi menjadi sekutu DAP, maka DAP boleh dikatakan menguasai jalinan pembangkang.
“Pada 2013, Umno memenangi 88 kerusi Parlimen manakala DAP menang 38 kerusi, sekali gus menjadikan DAP sebagai parti politik kedua terbesar di Malaysia.
“DAP juga mendakwa ia mendapat sokongan 85% hingga 90% pengundi Cina, di mana tiada parti politik lain boleh mendabik dada,” katanya.
Semalam, Najib berkata PRU ke-14 adalah persoalan pilihan sama ada memilih sebuah kerajaan diterajui Umno atau kerajaan pimpinan DAP.
Dalam ucapan dasar Najib sempena Perhimpunan Agung Umno 2016, presiden Umno itu berkata rakyat Malaysia terutama orang Melayu dan Bumiputera kini berada di persimpangan paling kritikal dalam sejarah politik di negara ini. – BERNAMA
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW