KUALA LUMPUR – Setakat 2 petang tadi, 1,348,827 penonton telah menyaksikan video gol ajaib jaringan penyerang Liga Malaysia dari Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri, sekali gus mengatasi jumlah tontotan jaringan pemain lain seperti Lionel Messi dan Neymar.
Jaringan itu tersenarai antara jaringan terbaik dunia untuk seterusnya dipilih menerima Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Gol sepakan gunting pemain kelab Corinthians dari Brazil pula, Johnath Marlone berada di tempat kedua dengan tontonan sebanyak 885,572 kali sementara gol sepakan percuma Messi di tempat ketiga dengan 879,423 tontonan.
Calon lain bagi anugerah itu ialah Mario Gaspar (Villareal/Sepanyol), Hlompho Kekana (Mamelodi Sundowns/Afrika Selatan), Saul Niguez (Atletico Madrid/Sepanyol), Hal Robson-Kanu (West Bromwich Albion/Wales), Simon Skrabb (Gefle IF/Finland) dan Daniuska Rodrigue (Venezuela).
Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerusi laman web rasminya www.fifa.com pada 19 November lalu menyenarai pendek 10 gol menarik dari tempoh 30 September 2015 hingga 30 September 2016 untuk dipilih diberi Anugerah Puskas FIFA.
Tiga jaringan terbaik yang mendapat undian tertinggi akan melalui pula proses undian kedua yang pemenangnya akan diumumkan pada Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich, Switzerland pada 9 Januari tahun depan.
Peminat bola sepak tempatan masih berpeluang untuk mengundi gol jaringan Mohd Faiz melalui laman web rasmi FIFA di http://ift.tt/2eZ0O8H yang undiannya ditutup hari ini. – Bernama
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW