loading...

Lelaki AS Didakwa Atas Kematian Wanita Jepun Menjelang Lawatan Obama

Seorang lelaki Amerika yang bekerja di sebuah pangkalan tentera AS di Jepun telah ditangkap Khamis lalu, kerana disyaki membuang mayat seorang wanita Jepun berusia 20 tahun.

 

Memetik laporan Reuters, menerusi maklumat polis Jepun, pihaknya memungkinkan kes itu bakal membangkitkan sentimen anti A.S tambahan lagi menjelang lawatan Presiden Barack Obama ke negara itu.

 

Jurucakap polis Okinawa berkata, pekerja awam berusia 32 tahun yang bekerja di pangkalan AS di Pulau Okinawa itu mengaku membiarkan mayat wanita tersebut namun tidak membuat sebarang pengakuan sama ada dia telah membunuh wanita itu.

 

Menteri Luarnya, Fumio Kishida berkata pihaknya mengemukakan bantahan terhadap Duta AS ke negara itu, Caroine Kennedy berhubung insiden tersebut.

 

“Saya ingin meluahkan kekecewaan teramat sangat kepada Duta Kennedy berkaitan nasib malang yang dialami gadis berkenaan.

 

“Insiden ini tidak boleh dimaafkan dan saya amat marah dan kecewa,” katanya.

 

Dimaklumkan Kennedy memberitahu Kishida bahawa AS akan menggandakan usaha untuk menangani insiden seumpama itu daripada berulang.

 

 

Di Washington, Pentagon memaklumkan bahawa individu yang ditahan pihak berkuasa Jepun merupakan seorang kontraktor tetapi tidak mendedahkan nama suspek.

 

Jurucakap Pentagon, Peter Cook menyatakan bahawa, Pentagon akan memberi kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan kes tersebut.

 

Duta Jepun ke Amerika Syarikat, Kenichiro Sasae berkata, beliau berharap kejadian terbaru ini tidak akan menjejaskan rangka lawatan Obama ke Hiroshima kerana hubungan perikatan yang dibina antara Jepun dan A.S, telah mencipta ‘kemajuan besar’ kepada negara itu.

 

“Isu Okinawa adalah isu Okinawa. Ini adalah satu peristiwa tragis, tetapi peristiwa tragis tidak boleh membayangi objektif utama untuk perikatan tersebut, itulah yang saya harapkan,” katanya kepada pemberita di Washington.

 

Terdahulu, pada tahun 1995, seorang pelajar berusia 12 tahun telah dirogol oleh tiga AS kerahan di Okinawa sekali gus mencetuskan bantahan besar. Awal tahun ini, seorang kelasi AS ditahan kerana disyaki merogol seorang wanita di sebuah hotel di Naha, selatan pulau itu.

 

 

Obama bakal menghadiri Sidang Kemuncak G7 di Jepun hujung bulan ini dan beliau merupakan presiden pertama yang akan melawat Hiroshima, bandar raya yang dimusnahkan dengan bom atom dalam perang dunia kedua 71 tahun yang lalu.

 

Previous
Next Post »
loading...