Setiap orang ada cara yang tersendiri dalam mendidik anak-anak. Malah, tidak akan ada sesiapa pun yang akan terlepas dengan perasaan geram dan amarah bila datang perangai anak-anak. Betul kan?
Sama juga dengan situasi Dr Halina Mohd Yunos, di mana dalam perkongsian di Instagram miliknya, ada orang bertanyakan sama ada beliau pernah menaikkan suara kepada anak-anak. Jawapan jujur Dr Halina ini sangat menarik!
Saya bukan malaikat, saya juga pernah meninggikan suara. malah lebih tinggi 2x ganda setiap kali saya perlu ulang arahan yang sama berkali-kali.
Saya juga memberikan sokongan dengan penuh bersemangat kepada mereka tanpa berasa malu pada hari sukan, pertandingan taekwando dan persembahan di sekolah, saya tidak peduli dengan pandangan orang lain terhadap saya.
Jawapan yang diberikan oleh Dr Halina sama seperti ibu-ibu biasa, malah, ramai pengikut instagramnya bersetuju dengan kenyataan beliau.
Apa nak buat ketika ibu ada rasa nak marah?
Bak kata orang, marah biarlah bertempat. Ada sesetengah ibu tidak mudah untuk melepaskan amarah dengan mudah dikhuatiri akan terlebih dari batasannya. Pa&Ma kongsikan cara yang boleh diambil untuk ibu bapa jika datang perasaan marah:-
1) Bertenang
Kalau ibu ada rasa nak marah.. perkara penting yang perlu buat adalah berusaha untuk tenang. Nabi SAW ajar cara bertenang ketika marah.Jika berdiri maka duduk. Jika duduk maka berbaring. Lepas tu ambil wuduk.Duduk ambil nafas seketika, tenang sebentar, insya-Allah rasa marah itu akan berkurang atau hilang langsung.
2) Fikirkan terlebih dahulu
Sebelum memarahi anak, fikirkan adakah anda suka kalau dimarahi sebegitu oleh emak atau orang lain. Adakah anda mahukan anak anda memarahi anda pula seperti itu suatu hari nanti. Apa jua kesalahan yang dilakukan masih ada cara yang boleh diberitahu secara baik pada anak.
3) Elakkan mengeluarkan kata-kata negatif
Elak dari memarahi anak sehingga keluar kata-kata yang tidak elok. Setiap apa yang keluar dari mulut ibu bapa ibarat doa untuk anak. Walaupun anak mungkin belum faham tapi adakah elok jika anak juga akan meniru perkataan yang kita keluarkan apabila mereka bercakap dengan rakan-rakan. Fikir-fikirkanlah!
4) Anak bukan robot
Selain itu, kena tahu anda bukan melahirkan seorang robot yang mengikut apa sahaja arahan anda. Anda melahirkan seorang manusia yang mempunyai perasaan.Cuba fahami perasaan anak dan elakkan memarahi anak secara melulu tanpa fikirkan emosinya.
Perasaan marah ini bukan setakat pada ibu sahaja tetapi ayah pun perlu memanfaatkan perkara yang sama juga. Dalam membesarkan anak-anak, keseimbangan dalam mendidik harus ada agar anak dapat membesar dengan cemerlang.
Hakikatnya kini, dek kerana kesibukan bekerja bagi kedua ibu bapa, seolah-olah anak jadi mangsa keadaan. Anak buat silap sikit ditengkingnya dan anak menyepahkan mainan dipukul sehingga menangis teresak-esak.
SUMBER: Dr Halina