loading...

“I Doa U Dapat Anak” Pilot & Isteri Dapat Tip Istimewa Daripada Permaisuri Agong

Setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga pasti mengimpikan zuriat sebagai penyeri dalam hidup. Ada yang menunggu bertahun-tahun lamanya dan melakukan pelbagai usaha hanya demi mendapatkan seorang anak. Namun tak semua yang bernasib baik untuk memiliki cahaya mata. 

Begitu juga bagi seorang juruterbang syarikat penerbangan nasional yang masih menantikan kehadiran si kecil dalam hidupnya. Dia bertuah kerana pesawat yang dibawanya dinaiki oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

Umum ketahui kecekalan dan ketabahan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dalam usaha baginda mendapat zuriat selama 17 tahun dan akhirnya kisah baginda menjadi sumber inspirasi buat rakyat di negara ini.

Menerusi video yang dikongsi di Twitter, kelihatan Tunku Azizah berkenan memberikan tip, kata-kata nasihat dan membaca petikan surah Maryam dan mendoakan pasangan tersebut agar dikurniakan zuriat.

“i doa for you and you get baby, many many many many babies and doa. Try try try sembahyang doa, and then sembahyang hajat and baca surah maryam. Bacalah” – Tuanku Azizah

“Kakak & abang ipar saya mendapat tips dan doa istimewa daripada Permaisuri Agong. Baginda sangat merendah diri. Daulat Tuanku!” tulis adik ipar kepada juruterbang berkenaan.

[Baca Selanjutnya: “Azizah Kuat Seperti Tok.” Permaisuri Agong Mahu Taja Rawatan Kesuburan 60 Pasangan]

Sebelum ini, baginda pernah berkongsi suka duka perjalanan untuk menjadi ibu kepada 5 cahaya mata iaitu Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah , Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.

Baginda turut berkongsi pahit manis yang dilalui sepanjang usaha dan ikhtiar mendapatkan zuriat menerusi temuramah khas. Dalam temuramah ini, sesekali baginda sebak dan menangis mengimbau kembali perjuangan mendapatkan cahaya mata.

“Setelah membuat rawatan akan berdebar-debar sama ada rawatan yang dilakukan berjaya atau tidak. Alih-alih menangis patah hati. Jadi ayahanda saya merasa lebih bila dia tengok tu.

“Saya ingat masa lahirkan anak kembar, Almarhum ayahanda cakap dekat saya. Azizah cukuplah. Abah tak sanggup tengok Azizah derita lagi,” kata baginda yang mendirikan rumah tangga dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 6 Mac 1986.

YAYASAN FERTILITI TUNKU AZIZAH

Pengalaman mengalami kesukaran untuk mendapatkan cahaya mata, permaisuri berjiwa rakyat ini telah menubuhkan sebuah yayasan untuk membantu pasangan kurang berkemampuan mendapatkan cahaya mata.

“Saya ada Yayasan Fertiliti Tunku Azizah kerana saya tahu susahnya nak dapat anak. Dan anak saya seramai 4 orang pun daripada rawatan IVF. Saya buat tu apabila saya nak lancarkan buku masakan. Saya ditanya ke manakah saya nak salurkan hasil jualan meja-meja.

“Masa tu lah tercetusnya idea. Saya kata saya nak buat yayasan untuk menolong mereka berpendapatan rendah yang tak mampu untuk membayar kos rawatan infertiliti yang mahal iaitu RM20 ribu hingga RM30 ribu. Jadi apa yang Allah kurniakan kepada saya, saya nak beri balik untuk menolong,” kata baginda.

“SAYA TAHU BAGAIMANA RASANYA…”

Baginda Permaisuri Agung yang amat disayangi rakyat ini juga turut menceritakan bagaimana rasanya berada dalam situasi berusaha untuk hamil selama bertahun-tahun. Baginda melalui pelbagai rawatan dan terpaksa berdepan dengan kegagalan dan keguguran. Ketika menjawab soalan daripada media, air mata baginda mengalir dan rasa sebak tidak dapat dibendung lagi.

“Saya tahu apa rasanya seorang perempuan berkahwin tidak boleh dapat anak & semua orang tanya. Apatah lagi saya yang berkahwin dengan Tengku Mahkota, yang patut lahirkan waris ganti.

“It was a pressure on me. Jadi saya faham bagaimana Empress Masako sekarang ni. Apa yang dia lalui saya tahu. Kerana saya dan dia sama masa tu.

“Dan saya ingat saya ada tulis surat kepada dia menceritakan saya buat rawatan. Saya tahu bagaimana perasaannya seorang perempuan yang tidak dapat melahirkan anak dan asyik ditanya.

“The pressure……, I know.”

“Saya tahu kerana saya juga mengalami keguguran. Saya tahu bagaimana sedih patahnya hati menangis bila kita dah mengandung gugur. Dah lah nak dapat anak tak dapat lagi.

17 KALI RAWATAN BARU SAYA DAPAT YANG MULIA TENGKU HASSANAL

Baginda turut menceritakan cabaran yang dihadapi sepanjang usahanya. Setiap rawatan tidak semuanya berakhir dengan kehamilan.

“Dan setiap kali saya membuat rawatan, tidak semestinya setiap rawatan itu jadi (berjaya). 17 kali saya buat rawatan baru saya dapat Hassanal (Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah).

“Tapi dalam 17 kali nak dapatkan Hassanal. Beberapa kali tu dalam buat rawatan doktor kata “I am sorry, I think I have to abandon. Its not working”

DUA MINGGU BERDEBAR. AKHIRNYA DAPAT KEPUTUSAN TIDAK MENGANDUNG

Baginda Permaisuri Agung juga turut berkongsi kepahitan yang terpaksa didepani. Ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ismail Al-Khalidi amat prihatin dengan apa yang dilalui puterinya.

“Macam mana ye, menangis balik. Dah buat rawatan, dua minggu tu kita tahu mengandung atau tidak. Dalam dua minggu tu punyalah hati berdebar-debar. Alih-alih dapat result tak mengandung.

“Menangis patah hati. Jadi ayahanda saya merasa lebih bila dia tengok tu. (Sebak)
“Saya ingat masa lahirkan anak kembar, Almarhum cakap dekat saya. Azizah cukuplah. Abah tak sanggup tengok Azizah derita lagi.

“Setiap kali saya membuat treatment dia tahu apa yang saya lalui. Saya ke Singapura dan balik kena baring selama 6 bulan.

“Azizah Tuhan dah kurniakan Azizah 4 anak, cukuplah dia kata. Abah tak sanggup tengok Azizah derita.

Tapi rezeki sudah tertulis. DYMM Baginda Permaisuri Agung akhirnya hamil sendiri tanpa rawatan pada tahun berikutnya. Apa yang dikatakan Alharhum ayahanda baginda, itulah berkat sabar.

PASANGAN BERUSAHA DAPATKAN ZURIAT JANGAN PUTUS ASA

Baginda Permaisuri Agung membantu pasangan yang berusaha memiliki anak melalui Yayasan Tunku Azizah. Baginda tidak lupa memberikan motivasi dan tip seperti berdoa, mendirikan solat hajat serta membaca surah Maryam.

“Jadi saya selalu bila dengar orang susah, saya mesti kata. Pergilah, jangan give up on hope. Tapi itu semua kuasa Allah. Kuasa Allah. Kita boleh cuba macam mana pun tapi saya selalu beritahu kepada mereka yang saya berikan bantuan rawatan Allah ada, buat solat hajat. Baca surah Maryam.

“Ada ayat-ayat dalam Al-Quran yang boleh menolong kita dapat zuriat. Sebanyak mana yang saya boleh buat sini, tapi yang menentukan hanya Allah SWT.

MULANYA DOKTOR KATA TAK BOLEH HAMIL LAGI

Selepas kelahiran anakanda sulung, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, Baginda Permaisuri Agung tidak menyangka bakal menyambut 4 lagi cahaya mata.

“Berkat, Alhamdulillah saya bersyukur saya pun tak sangka lepas dapat satu anak, saya boleh dapat 4 lagi. Itu tidak terlintas dalam fikiran saya.

“Masa saya dapat Hassanal (Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah).
Saya kata Alhamdulillah. Tapi saya kata takkan satu sahaja anak. Jadi saya pergi ke doktor lain.

“Doktor ini bertanya adakah Tengku nak cuba lagi? Saya kata Ya. Doktor kata saya rasa Tengku dah tak boleh dapat anak.

“Saya umur 36 tahun dan saya diberitahu mungkin tidak ada harapan untuk dapat anak. Sedangkan saya baru dapat seorang anak.

“Saya terus balik ke Singapura (baginda menangis dan menyapu air mata). Kemudian saya buat treatment, dapat Tengku Muhammad tu. Kandungan kembar tapi saya gugur satu bayi,” kata baginda.

SELEPAS RAWATAN PERLU BEREHAT DI ATAS KATIL SELAMA ENAM BULAN

Baginda Permaisuri Agung sangat cekal menghadapi ujian ini. Tidak berputus asa untuk meneruskan rawatan walau pun terpaksa melalui masa yang panjang dan perlu berehat selama enam bulan selepas hamil.

“Lepas tu Tuanku tanya, nak try lagi ke lepas ni. Tuanku tanya, sebab dia tahu kerana saya asyik ulang alik ke singapura. Masa tu di Malaysia tak ada.

“Saya berulang alik ke Singapura sehingga sebulan di sana untuk tentukan. Lepas tu balik kena baring lagi. Tak boleh keluar, sembahyang atas katil.

“Saya kata dah lah, dah cukup 2. Tapi ada yang frozen embryo yang dah jadi tu dalam freezer. Ada lagi 5. Saya kira kalau saya membuang itu kira menggugurkan, saya berdosa saya kata. Taruk je lah. Kalau jadi, jadi. Alhamdulilah. Kalau tak jadi, Allah dah kurniakan kita 2 orang anak lelaki yang comel.

SETAHUN SELEPAS KELAHIRAN KEMBAR, HAMIL LAGI SECARA SEMULA JADI

Selepas kelahiran anakanda kembar, Baginda Permaisuri Agung menceritakan kehamilan secara semula jadi berlaku. Berita menggembirakan itu diketahui pada hari ulang tahun pertama anakanda kembarnya iaitu Yang Amat Mulia Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatu’llah.

“Selepas pemindahan embrio, tak sangka dapat kembar. Selepas melahirkan yang kembar, doktor tanya saya. Dah 3 kali caesarean, Tengku nak ikat ke tidak kerana dah 3 kali bedah.

“Saya kata ,Allah, awak ni doktor, saya ni nak mengandung kena pergi jumpa doktor untuk buat treatment. Doktor itu mengusik, tahun depan kalau mengandung lagi jangan cari. Jangan marah ye.

“Betul-betul lepas ulang tahun kelahiran pertama anak kembarnya, saya mengandung. Saya call doktor, saya kata. I think I am pregnant.

“I told you,” kata doktor.

“Alhamdulillah saya dapat anakanda yang kecil sekali (Yang Amat Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah) pada usia 42 tahun. Alhamdulillah ini semua kurniaan yang tak disangka-sangka.

Sumber : Fadil Ishak

Previous
Next Post »
loading...