loading...

BAM sedia laksana Projek 24 dengan segera

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) — Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedia untuk melaksanakan ‘Projek 24’ dengan segera, tanpa perlu menunggu kelulusan daripada Mesyuarat Ahli Majlis badan induk sukan itu.

Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pihaknya sudah membincangkan mengenai Projek 24 itu, dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan BAM dan ia juga sudah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung Datuk Kenny Goh untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Katanya, beliau sudah memaklumkan kepada ahli Majlis BAM tentang antara perkara yang akan diberikan perhatian dalam projek itu ialah, penilaian prestasi pemain serta barisan kejurulatihan, pada akhir tahun ini.

“Kita mahu program itu dilaksanakan sekarang, dan jika ada perubahan selepas adakan mesyuarat Ahli Majlis, saya rasa tidak akan ada perubahan besar. Saya akan beritahu Ahli Majlis mengenai cadangan untuk melihat prestasi pemain senior dan juga barisan kejurulatihan sehingga hujung tahun ini.

“Jika keadaan memaksa sehingga hujung tahun untuk mengugurkan pemain, kita akan lakukannya demi Projek 2024. Sekiranya melibatkan kelayakan Olimpik, kita akan bersedia untuk mengambil langkah melepaskan pemain tersebut dan menjadi pemain bebas,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad badminton ke Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Kazan, Rusia pada 30 Sept hingga 13 Okt.

Projek 24, satu pelan yang akan diperkenalkan BAM yang mensasarkan pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024, selain menetapkan sasaran terhadap skuad badminton negara sebagai finalis Piala Thomas.

Berdasarkan projek itu, preastai pemain akan dinilai setiap empat bulan dan bagi yang gagal memenuhi sasaran ditetapkan, mungkin terpaksa digugurkan dan bergerak sebagai pemain profesional.

“Seperti yang saya katakan, ia akan dinilai semula pada hujung tahun ini. Pemain dan jurulatih jika tidak menjadi sebahagian daripada 2024, kita akan bantu pemain tersebut menggunakan cara lain,” katanya.

Sementara itu, mengenai penampilan skuad remaja negara, Mohamad Norza berkata beliau amat berharap para pemain menampilkan kesungguhan dalam menghadapi setiap perlawanan dan tidak perlu takut kepada lawan yang berada pada ranking lebih tinggi.

“Walaupun dari segi ranking mungkin kita agak ketinggalan berbanding negara lain, tapi sebagai satu pasukan dan dengan pemain badminton yang berbakat, mereka perlu berusaha dan impikan untuk menjadi juara di Russia.

“Tiada yang mustahil dan kita ada bakat individu dalam pasukan itu yang sekiranya mereka bermain dengan sepenuh potensi mereka, saya yakin mereka mampu melakukan kejutan. Saya mahu mereka mempunyai semangat, jika mereka mempunyai semangat patriotisme dan juga tidak rasa takut dengan mana-mana lawan, tiada yang mustahil,” katanya.

Skuad remaja yang diketuai perseorangan lelaki Yap Roy King diundi bersama tuan rumah Russia, Kanada, Macau dan Hong Kong.

Untuk rekod, Malaysia pernah membawa pulang pingat perak pada edisi 2017 di Yogyakarta, Indonesia, setelah tewas kepada juara 13 kali, China, dalam perlawanan final.

Barisan pemain remaja negara:

Lelaki: Yap Roy King (Kapten), Kok Jing Hong, Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar, Wyman Goh Wai Yap, Lee Shun Yang, Ooi Jhy Dar, Lwi Sheng Hoo, Ching Kai Feng, Muhammad Haikal Nazri, Wan Mohd Arif Shahruddin.

Wanita: Gan Jing Err, K. Letshanaa, Tan Zhing Yi, Myisha Mohd Khairul, Arena Satu Samin, Low Yeen Yuan, Valeree Siow, Goh Pei Kee, Teoh Lexuan.

Jurulatih: Kwan Yoke Meng, Poh Chai Boon, Pang Cheh Chang, Muhd Lufti Zaim.

— BERNAMA

Kita tunggu keputusan dia pada Olimpik 2024 nanti. Semoga Ligakampung.com masih bernafas dan dapat melihat prestasi Projek 24 itu.

Please follow and like us:

error0
Previous
Next Post »
loading...