SHAH ALAM, 24 Sept — Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan membayar baki geran tahunan berjumlah RM1.5 juta buat pasukan Liga Super dan RM500,000 untuk pasukan Liga Premier selewat-lewatnya November ini.
Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata MFL masih berpegang pada janji menyerahkan sepenuhnya geran tahunan dan komitmen badan pentadbir Liga Malaysia itu untuk tidak perlu dipertikaikan.
Katanya, MFL sedang bekerja keras memastikan janji itu dikotakan, meskipun berhadapan kekangan kewangan akibat kemelut melibatkan faktor penajaan pada awal musim ini.
“Komitmen nak membayar itu masih ada…jadi nilai RM3 juta dan RM1 juta tetap akan dilunaskan, cuma sekarang ini kita masih perlukan masa atas kekangan yang semua sedia maklum bahawa kita tidak dapat penaja tahun ini.
“Tetapi MFL sedang bekerja keras supaya seboleh-bolehnya kita dapat melunaskan baki 50 peratus itu pada bulan November selewat-lewatnya. Jadi kena sabar sikit sebab kita dalam usaha memastikan apa dijanjikan pada tahun lepas dapat ditunaikan sepenuhnya,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata demikian pada sidang media Kunjungan Hormat Delegasi FAM ke atas Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) di Akademi Bola Sepak Merah Kuning di sini, hari ini.
MFL pada pertengahan Julai lepas akhirnya menamatkan penantian pasukan bertanding mengenai agihan geran tahunan menerusi pembayaran 50 peratus daripada jumlah keseluruhan dan memaklumkan baki jumlah itu akan dibayar pada pertengahan bulan berikutnya.
Namun, pada tarikh yang dimaklumkan itu, MFL gagal membuat pembayaran menyebabkan beberapa pasukan mula mempersoalkan kelewatan yang menjejaskan pengurusan kewangan mereka.
“Jangkaan awal memang sepatutnya boleh selesai 15 julai dan 15 ogos. Tetapi daripada kekangan yang dihadapi kita tidak dapat memastikan ia berlaku seperti dirancang, sekali gus memaksa kita memerlukan lebih masa untuk selesaikan jumlah baki tersebut,” jelas beliau.
— BERNAMA
Ligakampung.com berkongsi artikel ini sebab tengok ada beberapa pasukan yang mengalami masalah pembayaran. Malahan pasukan yang memberi kenyataan ni pun tunggang langgang mengenai isu pembayaran gaji pemain. Meskipun geran ini tak mampu untuk menyelesaikan hutang tertunggak pasukan masing-masing namun sedikit sebanyak boleh membantu.
Pelik bilamana isu pembayaran gaji masih berlaku meskipun telah banyak dibincangkan sebelum ini.
Please follow and like us: