Dikurniakan anak sudah tentu menjadi idaman setiap wanita berkahwin. Jika tiada sebarang komplikasi, kelahiran secara normal amat digalakkan. Melahirkan melalui pembedahan biasanya dibuat jika ibu mempunyai masalah dengan kehamilannya.
Terdapat perbezaan dalam prosedur kedua-dua jenis kelahiran ini. Ada pendapat yang mengatakan kelahiran normal lebih baik berbanding pembedahan, tetapi setiap ibu yang bertarung nyawa untuk bersalin harus diberikan penghargaan.
Artikel Menarik: [Sakit Kontraksi Memang Tak Boleh Kongsi, Tapi Rajin-Rajinlah Manjakan Isteri. Mudahkan Dia Bersalin]
Kenali dua jenis kelahiran ini dengan lebih dekat agar anda dapat memahami konsepnya. Pa&Ma mendapatkan penerangan lanjut tentang kelahiran normal dan pembedahan ini daripada Dr. Khamsiah Muda, Pengasas dan Pakar Obstetrik & Ginekologi di Andorra Women and Children Hospital.
KELAHIRAN NORMAL
Kelahiran anak secara normal adalah proses pada akhir kehamilan, iaitu janin keluar dari rahim ibu melalui vagina tanpa menggunakan bantuan peralatan seperti vakum atau forcep. Proses kelahiran normal boleh dibahagikan kepada tiga peringkat.
Fasa Pertama
Kelahiran bermula dengan mulanya fasa pertama proses kelahiran. Pada waktu ini, Rahim akan mengecut setiap 10-30 minit pada awalnya dan ia berlaku untuk jangka masa 40 saat. Kemudian, kadar pengecutan rahim akan meningkat perlahan-lahan setiap dua minit. Setiap kali Rahim mengecut, pangkal rahim akan membuka sehingga mencapai kelebaran 10sm.
Situasi inilah yang kita panggil kontraksi. Pada waktu inilah para ibu akan merasa sakit sementara menunggu pintu rahim terbuka sehingga 10sm agar bayi dapat melalui pintu vagina untuk menjayakan kelahiran normal. Biasanya pangkal rahim diselaputi lapisan mukus yang menolong mencegah jangkitan. Lapisan ini akan dikeluarkan sebelum proses kelahiran bermula. Selepas itu, proses seterusnya adalah kepecahan air ketuban.
Fasa Kedua
Dalam fasa kedua kelahiran, bayi dikeluarkan dari rahim melalui vagina. Ia akan berlaku apabila otot rahim dan abdomen mengecut dengan kuat. Dalam kes kelahiran normal yang biasa, kepala bayi akan dikeluarkan terlebih dahulu.
Sekiranya bayi berkedudukan songsang, bahagian punggung akan dileuarkan terlebih dahulu. Dalam keadaan ini, kaki bayi terlipat ke atas. Jika ini kes ibu yang pertama kali melahirkan, bayi berkemungkinan harus dikeluarkan melalui pembedahan caesarean. Selepas dilahirkan, tali pusat bayi yang menghubungkan bayi kepada uri akan dikapit dan di potong.
Fasa Ketiga
Fasa ketiga kelahiran berlaku lebih kurang ¼ – ½ jam selepas bayi dilahirkan. Kemudian uri akan dikeluarkan. Uri bersambung kepada bayi melalui tali pusat yang terdiri daripada saluran darah dan tisu kolektif.
PEMBEDAHAN CAESAREAN
Pembedahan caesarean adalah pembedahan di mana pakar obstetrik membuat potongan pada perut dan rahim (uterus) agar bayi anda boleh dilahirkan. Pembedahan untuk melahirkan anak merupakan pembedahan besar yang paling biasa dalam kalangan wanita.
Artikel Menarik: [Waktu Scan Anak Pertama, Nampak ‘Bird’. Berkemungkinan Mama Bersalin Lambat Dari EDD]
Kelahiran melalui pembedahan akan dsyorkan oleh doktor jika kelahiran secara normal didapati berisiko tinggi. Namun demikian, prosedur ini juga boleh dijalankan dia atas permintaan si ibu.
Bila Proses Bersalin Caesarean Bermula?
Setelah usia kehamilan mencapai 38 minggu Bayi akan dikeluarkan melalui belahan di perut ibu dan bukan dari faraj. Sebelum pembedahan dimulakan, doktor akan menjalankan pembiusan epidural sehingga kawasan perut ke kaki (half body bius) supaya si ibu berasa kebas.
Semasa proses pembedahan, para ibu berada dalam keadaan sedar. Hanya dalam kes tertentu, pembiusan penuh akan dilakukan. Bagi mengelakkan iu berasa panik, doktor kebiasaannya akan mmberi ubat penenang supaya mereka lebih santai ketika proses pembedahan dijalankan.
Mengapa Perlu Dibedah?
Terdapat beberapa kes kehamilan yang memerlukan ibu menjalani kelahiran melalui pembedahan:
- Plasenta Previa
Semasa mengandung, rahim mengembang dan plasenta (uri) yang normal akan melebar menjauhi serviks. Plasenta previa adalah keadaan di mana uri tetap berada di bahagian bawah rahim atau dekat dengan serviks sehingga menutup pintu laluan kelahiran.
- Plasenta Luruh (Abruption)
Keadaan ini apabila plasenta terpisah dari dinding rahim seblum tarikh kelahiran. Apabila ia berlaku dikhuatiri bayi akan terputus bekalan nutrisi dan oksigen. Dalam sesetengah kes, jika ini terjadi bayi akan dilahirkan pra matang.
- Kehamilan songsang
- Tali pusat jatuh (Cord Prolapse)
Jarang berlaku. Tetapi jika terjadi, pembedahan segera perlu dibuat kerana tali pusat terkeluar melalui serviks dan vagina sebelum bayi dilahirkan.
- Bayi lemas (Fetal Distress)
Bayi lemas apabila kekurangan bekalan oksigen ketika dalam kandungan. Ia dikesan melalui tanda denyutan jantung bayi yang menjadi perlahan berbanding kadar normal.
- Bukaan lambat
Jika bukaan rahim terlalu lambat, tidak terbuka pada kadar sekurang-kurangnya 0.5sm setiap jam dalam tempoh empat jam, pasti ada masalah.
- Pembedahan ulangan
- Ibu mengalami masalah darah tinggi atau kencing manis semasa hamil
- Masalah tumbesaran bayi
Jika tumbesaran bayi terbantut, bayi mudah lemas semasa proses kelahiran.
- Bayi kembar
Bayi kembar boleh dilahirkan melalui kelahiran normal, tetapi sesetengah kes ibu terpaksa dibedah bergantung kepada posisi bayi, berat badan mereka serta usia dalam kandungan.
Artikel Menarik: [Takut Sakit Terlalu Lama, Doktor Kongsi Makanan Ini Percepatkan Proses Kelahiran]
Biar apa pun jenis kelahiran seorang ibu, ia merupakan pengorbanan terbesar seorang wanita. Kedua-dua jenis kelahiran sama hebat dan sama sakitnya. Selepas melahirkan bayi, jagalah kesihatan dan ikutlah saranan doktor agar segera sembuh. Jika ada ibu yang mahu bersalin secara pembedahan walaupun tiada sebarang komplikasi ketika hamil, itu bergantung kepada pilihan masing-masing. Setiap kelahiran mempunyai risiko tersendiri.