loading...

Sepak Takraw bakal ke Olimpik

Peminat sukan sepak takraw mungkin gembira mendengar berita ini. Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) sedang merangka hala tuju sukan ini untuk membawanya ke Sukan Olimpik.
Antara perkara penting bagi memastikan objektif ini berjaya adalah dengan cuba membawa negara-negara Eropah dan Afrika Selatan bagi menyertai acara sukan yang berakar umbi di Asia Tenggara ini.
Menurut Setiausaha Agung ISTAF, Fatuk Abdul Halim Kader, badan induk sepak takraw telah bekerja keras membangunkan sukan sepak takraw ke dalam acara suka pelbagai sebelum berjaya disenaraikan dalam Olympic Channel baru-baru ini.

STAF kini perlu meningkatkan bilangan ahli gabungannya dan populariti sukan itu di seluruh dunia bagi meyakinkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) kerana pada masa ini hanya 45 negara yang bermain sepak takraw.

“Kami memerlukan sekurang-kurangnya 50 negara (ahli gabungan) untuk diiktiraf sebagai satu sukan oleh IOC. Tetapi untuk layak dipertandingkan dalam Olimpik, kami memerlukan 75 negara yang bermain di lima benua.

“Dalam mesyuarat Majlis di Bangkok baru-baru ini, kami telah membangun dan menerima pembentukan persekutuan di Afghanistan, Iraq, New Zealand, Tajikistan dan Kyrgyzstan. Saya optimistik untuk mendapatkan 10 lagi ahli gabungan baharu dalam masa 24 bulan melalui skim penyesuaian yang dicadangkan.

“Kami telah membentuk pasukan petugas terdiri daripada pemimpin dari pelbagai negara untuk mencari 10 negara baharu di Eropah dan Afrika Selatan sebagai ahli gabungan kita. Setiap ahli, sebagai contoh Malaysia, boleh mengguna pakai dua atau tiga negara untuk mempromosi dan membangun sukan sepak takraw di negara baharu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Sukan Komanwel, Abdul Halim berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) David Grevemberg dan Pengarah Sukan CGF Ann-Louise Morgan untuk mempamerkan sepak takraw sebagai sukan yang diiktiraf di Birmingham 2022.

Sukan yang diiktiraf adalah kategori ketiga sukan dalam Sukan Komanwel selepas sukan teras dan sukan pilihan, yang bermaksud sukan itu telah diiktiraf oleh CGF tetapi dianggap akan berkembang sebelum dimasukkan ke dalam temasya sukan itu.

Menurut balasan e-mel oleh Ann-Louise kepada ISTAF, pendekatan baharu sukan diiktiraf akan membolehkan CGF dihubungkan dengan sukan yang boleh menjadi daya positif untuk penglibatan masyarakat, perayaan serantau atau pembangunan sosial.

Ia termasuk sukan yang dikaitkan dengan acara penyertaan daripada orang ramai, sukan yang dikhususkan kepada budaya, wilayah atau Persekutuan Antarabangsa tertentu yang terlibat dalam projek global menggunakan sukan sebagai alat pembangunan.

Sementara itu, Abdul Halim berkata kira-kira 12 negara akan mengambil bahagian dalam kejohanan negara-negara Komanwel yang dijadualkan pada awal tahun hadapan.

“Kami menerima maklum balas positif dari Singapura dan India untuk menjadi tuan rumah kejohanan itu, ia akan dianjurkan bertujuan untuk diiktiraf oleh CGF. Bagi tujuan itu (diiktiraf dan dimasukkan ke dalam Sukan Komanwel), kami perlu mematuhi kriteria yang ditetapkan CGF dan kini, kami dalam proses mendapat pengiktirafan.

“Saya yakin jika Persekutuan Antarabangsa berfungsi dengan baik, fokus untuk mencapai matlamat, kita boleh bawa sepak takraw ke Olimpik. IOC pasti akan pertimbangkan berdasarkan kriteria dan pemprosesan… Ketelusan dan mengikut tadbir urus akan menjadi kriteria utama untuk diiktiraf,” tambahnya.

Sepak takraw mula dipertandingkan pada temasya Sukan SEA pada 1965 manakala Sukan Asia pula pada 1990.

— BERNAMA

Please follow and like us:

error0
Previous
Next Post »
loading...