Bukan dipinta lahir berlainan dengan manusia normal, tapi itulah yang berlaku kepada seorang yang kanak-kanak berusia dua tahun yang mempunyai wajah unik akibat struktur tulang muka yang berlainan dengan kanak-kanak lain hingga membuatkan dirinya dipinggirkan.
Malah dengan keadaannya itu dia yang masih kecil dilarang ke pusat asuhan kanak-kanak (Taska) di Kawasan tempat tinggal mereka, Bashkortostan, Rusia.
Menurut laporan akhbar antarabangsa, kanak-kanak berusia dua tahun itu dilarang ke Taska kerana kakitangan pusat itu bimbang wajah peliknya akan menakutkan kanak-kanak lain yang ada di situ.
Sofya Zakharova, 2, kanak-kanak yang dimaksudkan itu dilahirkan dengan kecacatan tengkorak dan jari kakinya sejak lahir. Ibu Sofya, Svetlana Zakhrova menyatakan bahawa kakitangan di tempat asuhan itu meminta mereka untuk tidak menghantar Sofya sehingga pembedahan dilakukan terhadap anak kecil itu untuk mengubah wajahnya terlebih dahulu barulah anak kecil itu dibenarkan berada di taska tersebut.
Perkembangan Sofya akan terbantut kerana kurang interaksi
Pakar kanak-kanak di sana turut menyatakan dengan larangan yang dibuat, perkembangan Sofya akan terbantut kerana dia tidak diberi peluang untuk berinteraksi dengan kanak-kanak lain.
“Semakin banyak interaksi yang Sofya dapat bersama rakan-rakan seusianya, semakin mudah untuk dia menerima keadaan dirinya yang tidak seperti kanak-kanak lain,” ujar Pakar Psikologi Pendidikan, Ekatarina Belan kepada media tempatan.
Bagaimanapun pembedahan ke atas kanak-kanak itu sebenarnya ditangguhkan berulang kali. Kes itu kemudiannya diambil oleh badan amal Rainbow of Goodness.
Malah pihak berkuasa tempatan juga menyiasat keengganan taska itu untuk menerima Zakharova serta penangguhan pembedahan kanak-kanak itu.
Mereka juga sedang berusaha untuk memberi Sofya Zakharova dan ibu bapanya tempat tinggal yang selesa berbanding sekarang yang mana mereka tinggal bersama datuk dan nenek kanak-kanak ini. Lebih menyedihkan kediaman mereka serba kekurangan kerana tidak mempunyai kemudahan yang cukup.
Telah jelas bahawa hak kanak-kanak dan ibu bapa tersebut dilanggar.Bagaimanapun menurut ibunya, Svetlana Gizatullina sekolah itu masih enggan memberi tempat kepada anaknya.
sumber: Metro UK