loading...

Selama 16 Tahun Hidup Dengan Asap Rokok, Demi Anak Bapa Nekad Berhenti

Merokok membahayakan kesihatan! Itulah yang selalu kita lihat dan dengar tidak kira secara maya mahupun dipersekitaran. Meskipun fizikalnya kecil, tetapi rokok mampu memberikan impak yang besar untuk perokok dan individu disekelilingnya.

Malah, bukan itu sahaja, walaupun seorang perokok itu tahu apa kesannya merokok, tetapi mereka masih lagi mengamalkan gaya tidak sihat dek kerana terjebak.

Tetapi demi anak, apapun bapa sanggup buat! Itulah semangat seorang bapa apabila nekad untuk berhenti merokok pada ulangtahun kelahiran anaknya yang pertama pada 15 September lalu.

Dalam perkongsian di laman Twitter milik Mohamad Hafiz bin Jalaludin, 30 tahun, disebabkan buntu untuk memilih hadiah sempena ulangtahun kelahiran untuk puterinya, Norhafizah binti Mohamad Hafiz, dia memilih untuk berhenti merokok sebagai hadiah bermakna buat anaknya meskipun telah terjebak selama 16 tahun dengan asap rokok itu!

Sebelum ini, pernah juga ibu, bapa dan isterinya meminta untuk dirinya berhenti dari merokok. Malah dia juga pernah terdetik untuk membuang tabiat itu tetapi tidak berjaya laksanakan. Namun demi anaknya, buat kali pertamanya dia nekad untuk membuang tabiat buruknya itu.

Malah, sepanjang dia bergelar perokok, dia tidak pernah merokok di hadapan anak dan isterinya. Hafiz turut diminta isterinya, Noradilah binti Mohd Isa, 30 tahun untuk basuh tangan dan mulut terlebih dahulu sebelum memegang anak mereka.

Merokok adalah tabiat yang paling sukar untuk seorang lelaki buang dari hidupnya kerana telah menjadi kebiasaan. Oleh itu, dalam proses menjauhkan diri dari tabiat itu, Hafiz akan sibukkan diri dengan kerja dan lebihkan masanya untuk bersama keluarga. Selain itu, dia juga akan makan gula-gula sebagai langkah menghilangkan ketagihannya terhadap rokok.

Selalunya orang mengaitkan berhenti merokok kerana ada masalah kesihatan. Namun bagi kes Hafiz, selama dia merokok, dia tidak pernah mengalami sebarang masalah kesihatan. Malah, keputusan yang diambil untuk berhenti merokok ini bukanlah disebabkan oleh faktor tersebut mahupun faktor kewangan tetapi kerana dia sememangnya mahu berhenti dari tabiat merokok itu.

Nasihat untuk bapa di luar sana, sebagai ketua keluarga, tugas anda adalah menjaga ahli keluarga dari sebarang perkara yang berbahaya. Asap rokok sebenarnya lebih bahaya kepada orang di sekeliling berbanding perokok itu sendiri.

SUMBER: Hafiz Jalaludin

Previous
Next Post »
loading...