Sesetengah ibu yang menyusukan anak merasa hairan kerana anak mereka selalu tidak sihat dan mengalami sakit perut. Jangan terperanjat jika diberitahu jika ia berkaitan dengan pemakanan yang dimakan oleh ibu.
Bayi bergantung sepenuhnya kepada susu ibu bagi memenuhi keperluan pemakanannya, terutama sepanjang tempoh beberapa bulan pertama kehidupannya. Jadi apa saja yang ibu makan dan minum, akan “disalurkan” terus kepada bayi ketika menyusu seterusnya memberikan kesan pada kesihatan bayi.
Oleh itu wanita yang menyusukan bayi harus mengamalkan diet pemakanan yang seimbang. Pelbagai makanan boleh diambil ketika anda menyusukan anak, tetapi ada sesetengah makanan yang dimakan, boleh memudaratkan kesihatan dan perkembangan bayi anda. Saya menasihatkan agar para ibu membuat diari makanan untuk mengetahui tindak balas yang teruk terhadap susu ibu.
Antara makanan yang MUNGKIN tidak sesuai sepanjang ibu menyusukan anak adalah:
1. Memakan terlalu banyak buah-buah citrus seperti lemon, limau, oren, dan limau gedang. Ia boleh mengganggu sistem gastro-usus dan salur penghadaman bayi yang belum matang. Bayi yang sensitif terhadap buah citrus dalam susu ibu mungkin mudah mengalami ruam lampin. Makanlah buah-buahan tropikal yang lain seperti buah mangga, jambu batu atau epal.
2. Makanan laut dengan kandungan merkuri yang tinggi seperti ikan yu, ikan todak dan tenggiri. Tahap merkuri yang tinggi akan menjejaskan otak dan sistem saraf bayi anda. Pilihlah makanan laut yang rendah kandungan merkuri termasuklah udang, salmon, tuna dalam tin, dan ikan air tawar.
3. Memakan makanan yang diketahui mengalami alahan makanan. Bayi mungkin akan mengalami alahan yang sama sehingga mengalami sakit perut, mempunyai masalah tidur, atau gatal-gatal, ruam, dan ekzema atau pernafasan yang berbunyi.
3. Meminum alkohol, bukan saja dilarang dalam Islam tetapi juga boleh dirembeskan ke dalam susu ibu.
4. Mengambil kafein dalam minuman. Minuman berkafein seperti kopi, teh, minuman ringan, minuman tenaga, dan minuman bercoklat boleh dirembeskan ke dalam susu ibu akan menyebabkan gangguan tidur pada bayi.
Saya mencadangkan agar wanita yang menyusukan anak agar mendapatkan nasihat pemakanan yang betul di samping meminum air yang secukupnya.
#HealthDrZubaidi
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad