loading...

Anak Cakap Lambat Dan Pelat, Mak Ayah Jangan Buat Tak Tahu, Mungkin Lidah Anak Pendek!

Masalah gigi anak selalunya dititik beratkan oleh ibu bapa. Namun jarang sekali untuk kita menitik beratkan masalah lidah anak, lebih-lebih lagi kita tidak pernah menyedari bahawa lidah anak pendek dan turut memberi kesan kepada pelbagai aktiviti lain seperti menyusu dan sebagainya.

Menurut Dr Ahmad Faisal Ismail, Penolong Professor Pergigian Kanak-kanak, Kulliyyah Pergigian UIAM, lidah pendek (tongue tie) adalah keadaan dimana pergerakan lidah yang terhad disebabkan oleh tisu nipis (frenulum) yang tebal/pendek.

Keadaan ini menyebabkan lidah kelihatan seolah-olah melekat pada lantai mulut. Tisu frenulum terletak di bawah permukaan lidah, dan dapat dilihat jika anda mengangkat hujung lidah (tip) ke lelangit (Gambar 1). Tisu frenulum ini menghubungkan lidah dan lantai mulut.

Tanda-tanda klinikal (bergantung kepada keterukan kes):
1. Lidah sukar diunjur keluar
2. Pergerakan lidah ke kiri dan kanan terhad
3. Hujung lidah tidak dapat menyentuh lelangit
4. Terdapat notching (lekuk) pada hujung lidah apabila diunjur keluar (Gambar 2)
5. Lidah tidak dapat digulung ke belakang dengan sempurna

Implikasi Lidah Pendek

1. Penyusuan
Bagi bayi yang masih menyusu, lidah pendek boleh menyebabkan aktiviti penyusuan tidak efektif. Ini kerana bayi tidak dapat menghisap puting kerana pergerakan lidah yang terhad. Bayi yang menangis semasa aktiviti menyusu mungkin memberi petanda awal bagi masalah lidah pendek.

2. Pertuturan
Lidah pendek boleh menyebabkan kanak-kanak menghadapi masalah pertuturan. Pergerakan lidah yang terhad menyebabkan kanak-kanak sukar menyebut huruf “r” dan “l”. Ia akan menyebabkan pertuturan yang kurang jelas dan menjejaskan emosi kanak-kanak.

3. Pengunyahan makanan
Fungsi lidah dalam pengunyahan makanan adalah amat penting. Lidah berperanan mengawal dan menolak makanan untuk dikunyah oleh gigi. Lidah pendek boleh menyebabkan pengunyahan makanan kurang efektif.

Rawatan Masalah Lidah Pendek
Tidak semua kanak-kanak yang mempunyai lidah pendek memerlukan rawatan pembedahan. Penilaian keterukan (severity) dan keperluan rawatan (need for treatment) akan dilakukan oleh doktor atau doktor pergigian sebelum sebarang rawatan diberi. Rujukan kepada doktor pakar atau terapis pertuturan akan dibuat jika melibatkan pertuturan atau kes lidah pendek yang teruk.

Bagi kebanyakan kes lidah pendek yang biasa (mild), kanak-kanak selalunya tidak mempunyai apa-apa masalah pertuturan atau fungsi lidah.

Bagi kes sederhana atau teruk (moderate or severe), pembedahan kecil mungkin akan dilakukan bagi melepaskan (release) tisu frenulum yang tebal (Gambar 3). Prosedur ini dipanggil ‘frenectomy’. Frenectomy boleh dilakukan dibawah bius setempat atau umum, dan hanya mengambil masa beberapa minit, bergantung kepada jenis kes.

Apa Ibubapa Perlu Lakukan?
Ibu bapa perlu menilai perbezaan anak-anak samada memiliki lidah yang biasa atau pendek.
1. Memeriksa mulut anak di rumah dan lihat jika terdapat tanda-tanda klinikal.
2. Peka jika anak mengadu mempunyai masalah percakapan atau pengunyahan.
3. Dapatkan konsultasi doktor atau doktor pergigian terdekat jika perlu.

Previous
Next Post »
loading...