KUALA LUMPUR, 1 Sept — Enam pemain bola sepak muda negara, termasuk bintang skuad bawah-18 tahun kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin mendapat peluang keemasan untuk berguru di Jepun secara berperingkat bermula Selasa ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata ia adalah hasil kerjasama yang dimeterai ketika delegasi FAM yang diketuai Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengadakan perbincangan dua hala dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) selama lima hari di Tokyo bermula 26 Ogos lalu.
Kunjungan itu adalah susulan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 5 April lalu.
Beliau berkata Luqman, Muhammad Firdaus Kaironnisam, Harith Haiqal Adam Afkar dan Ali Imran Sukari akan menimba ilmu dengan Cerezo Osaka bermula 3-13 Sept ini.
Peringkat kedua pula bakal menyaksikan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Ahmad Zikri Mohd Khalili bersama Luqman sekali lagi akan ke JFA Academy dan FC Tokyo pada Oktober depan.
“Nama-nama ini dipilih selepas saringan berdasarkan prestasi pemain yang dipantau FAM, Akademi Mokhtar Dahari dan Pengurusan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP),” katanya menerusi kenyataan.
“Penempatan pemain berkenaan di negara matahari terbit ini bertujuan memberi pendedahan, pengalaman dan peluang untuk mereka membiasakan diri dengan corak latihan dan permainan, serta cara hidup di sana jika mereka terpilih atau berpeluang untuk beraksi di Liga Jepun pada masa akan datang,” tambahnya.
— BERNAMA
Ligakampung.com mengucapkan syabas kepada pemain muda negara ini. Semoga mereka dapat membiasakan dengan corak latihan di Liga Jepun yang cukup keras dan berdisplin itu. Bukan mudah untuk dapat peluang beraksi di liga kompetitif itu. Mereka perlu cepat menyesuaikan diri dalam suasana kehidupan baharu untuk kejayaan kerjaya mereka pada masa hadapan. Peluang bermain di Liga J mampu melonjakkan nama mereka ke liga yang lebih popular. Tak mustahil ada antara mereka mampu mengintai kelab-kelab ternama dunia satu hari nanti.
Please follow and like us: