PUCHONG: Operasi menyelamat seorang remaja yang dilaporkan tergelincir, ketika memancing di lombong dekat sini malam tadi, bertukar tragedi apabila enam penyelam bomba yang terbabit dalam pencarian itu, lemas akibat terbelit tali di dasar.
Kejadian itu dipercayai berpunca daripada pusaran arus deras berpunca daripada hujan lebat yang mengalir ke kawasan tumpuan operasi yang sedang dijalankan oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang serta Shah Alam itu.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, berkata ketika kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, enam penyelam berkenaan baru lima minit berada dalam air, bagi menjejaki seorang remaja berusia 17 tahun, yang dilaporkan terjatuh ke lombong itu jam 5 petang semalam.
“Namun, secara tiba-tiba datang arus deras menyebabkan semua mangsa terbelit tali yang dipasang di antara satu sama lain, yang dipercayai menjadi punca peralatan menyelam dipakai mereka tertanggal,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Abdul Aziz berkata, menyedari detik cemas yang dialami oleh rakan sepasukan itu, beberapa anggota bomba yang berada di tebing, berusaha menarik tali yang mengikat semua mangsa, namun tidak berjaya kerana berdepan tekanan arus yang terlalu kuat.
Katanya, selepas berusaha selama kira-kira 30 minit, mereka berhasil menarik naik mangsa yang pertama, sebelum disusuli yang lain.
“Bagaimanapun, ketika dibawa naik ke tebing, semua anggota penyelam berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Anggota paramedik yang berada di lokasi ketika itu turut cuba memberi rawatan kecemasan termasuk bantuan pernafasan (CPR) selama 30 minit, namun semua mangsa tidak memberi sebarang tindak balas sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.
Abdul Aziz berkata, mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan masa sama keluarga mangsa turut dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Anggota bomba yang terkorban ketika bertugas itu terdiri daripada Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menziarahi jenazah enam anggota bomba berkenaan di Hospital Serdang jam 12.30 tengah malam ini.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata, operasi mencari remaja yang hilang buat masa ini ditangguhkan ekoran cuaca gelap dan akan disambung pada pagi ini.
“Buat masa ini, remaja yang hilang itu masih belum dijumpai dan operasi mencarinya akan disambung jam 8 pagi nanti.
“Operasi pagi nanti akan dijalankan secara bersama oleh bomba dan Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang.