loading...

Gigi Susu Jarang, Risau Tak Cantik Sampai Besar. Ibu Ayah Tolong Jangan Risau Terlalu Awal!

Kepercayaan mengatakan budak belum tumbuh gigi jangan guna sikat rambut, nanti gigi anak jadi jarang itu karut! Anak baru 4 tahun elok tekankan penjagaan gigi dahulu sebelum risaukan susunan gigi yang jarang. Ikuti penjelasan pegawai  pergigian ini.

Perkara berkaitan dengan gigi anak, ada sesetengah ibu bapa tidak ambil kisah dan ada juga yang amat menitikberatkanya. Kesedaran awal membawa anak ke klinik gigi untuk mendapatkan pemeriksaan gigi memang baik dan elok dilakukan sejak awal lagi.

Menurut Dr Iqbal Rosali, Pegawai Pergigian,  Pusat Sejahtera, Universiti Sains Malaysia ada ibu bapa yang risau tentang gigi susu anak mereka yang jarang. Ini adalah perkongsian beliau mengenai perkara tersebut;

Haritu ada ibu datang buat pemeriksaan gigi. Selesai semuanya, dia ambil masa sedikit untuk mengadu tentang anaknya. Dia beritahu gigi anaknya jarang-jarang. Gigi itu tumbuh seketul-seketul. Dia kata tak cantik.

Minta pandangan saya ada tak rawatan untuk kes macam tu. Dia tanya juga sesuai tak buat braces untuk rapatkan gigi.

Saya jawablah braces boleh digunakan untuk rawatan gigi jarang. Jika jarang-jarang cuma pada gigi depan, boleh buat veneer. Sejenis rawatan ala-ala gigi palsu untuk tutup jarak antara gigi. Tak perlu ikat dan gerakkan gigi macam braces.

ANAK BARU BERUMUR 4 TAHUN

Ibu pun bertanyalah macam-macam tentang dua rawatan yang saya sebutkan tadi. Banyak dan panjang juga soalan si ibu. Yang mana lebih sesuai, yang mana sesuai untuk umur berapa.

Chup!

Umur berapa?

Terus lupa nak tanya tentang ini. “Puan, umur anak puan berapa?”

“4 tahun.”

“Puan, kalau baru 4 tahun, gigi susu je ni, puan bimbang apa?”

“Gigi dia tak cantik. Saya risau kalau dah tumbuh gigi kekal nanti pun akan jarang macam ni juga.”

DOKTOR TERANGKAN SUSUNAN GIGI SUSU

Ibu-ibu, ayah-ayah,

Saya faham kebimbangan begini. Tapi tidak perlulah bimbang sebegini awal.

Pertama,

Gigi susu jarang-jarang begitu kerana saiz gigi susu ini kecil sahaja. Tidak berubah saiznya. Sedangkan tulang rahang mulut anak itu membesar. Makin besar anak memang akan nampak jarang pada gigi susu.

Kedua,

Gigi susu ada 20 batang. Gigi kekal paling kurang akan ada 28 batang. Saiz gigi kekal juga lebih besar. Ruang antara gigi susu, dan rahang yang membesar adalah untuk persediaan untuk gigi kekal tumbuh.

Ketiga,

Pakar Orthodontik mencadangkan untuk mendapatkan konsultasi tentang susunan gigi bila anak umur 7 tahun. Masa ini gigi geraham dah mula tumbuh. Gigi kacip (orang awam panggil kapak) juga akan mula tumbuh menggantikan gigi susu. Jadi kalau umur 4 tahun tak ada nak bimbang pasal susunan gigi kekal ni.

Keempat,

Gigi anak kecil kita ni memang tak cantik susunannya. Ada gigi nak tumbuh, ada gigi nak tanggal. Sebab tu penting mak bapa tahu bila gigi susu tanggal, bila gigi kekal keluar.

Kelima,

Kebimbangan ibu itu bagus. Tapi pada umur 4 tahun macam tu, adalah lebih baik pentingkan dulu penjagaan kebersihan gigi. Jangan bagi rosak. Ajar anak gosok gigi dengan betul. Itu sepatutnya. Susunan gigi ni nanti-nantilah duk bimbangnya.

Apa yang penting, dapatkan pemeriksaan gigi berkala untuk si anak sejak tumbuh dua batang gigi susu. Biasakan anak dengan klinik gigi, dengan doktor gigi.

Walaupun gigi tak rosak, tak ada mengadu sakit, bawa sahaja. Kita periksa. Kalau semua okay, anak happy, mak bapa pun happy.

Sumber: Dr Iqbal Rosali

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...