KUALA LUMPUR: Gabungan Bantah1050 hari ini menganjurkan protes di hadapan Parlimen, untuk menyampaikan bantahan warga pekerja terhadap kenaikan gaji minimum yang disifatkan amat sedikit.
Bantah1050 merupakan sebuah gabungan terdiri daripada Alternatif Sosialis, Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE), Malaysia Muda, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Kira-kira 300 orang peserta gabungan berarak dari Padang Merbok, Kuala Lumpur menuju ke Bangunan Parlimen pada jam 10.30 pagi, menuntut agar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 dari RM1,050.
Kekecohan itu bagaimanapun berjaya dileraikan selepas Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran keluar untuk bertemu peserta.
Beliau kemudiannya mempelawa wakil kumpulan itu masuk untuk sesi perbincangan serta penyerahan memorandum.
“Saya mengalu-alukan kehadiran mereka dan sentiasa terbuka untuk berbincang.
“Saya terima memorandum itu dan akan cuba membawa isu itu ke Kabinet secepat mungkin,” kata beliau.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon, memaklumkan mereka akan menanti kata putus kerajaan berkenaan memorandum itu.
“Kalau keputusannya masih negatif, kami tidak akan teragak-agak melakukan himpunan sekali lagi,” katanya.
Kerajaan pada September lalu mengumumkan pelarasan gaji minimum RM1,050 yang akan dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 Januari tahun depan.