loading...

Biarkan Anak Enjoy Dengan Sekolah, Bukan Bebankan Mereka Dengan Ujian!

Mama papa hari ni berlumba-lumba untuk mencari sebuah tadika yang baik dan diiktiraf buat anak-anak hingga terlupa apa sebenarnya kemahuan anak-anak. Tadika yang mempunyai silibus hebat, penuh dengan ujian dan peperiksaan dirasakan cukup baik untuk anak-anak. Soalnya benarkah ia satu perkara yang baik untuk anak kita?

Dengarkan perkongsian dari Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Ketua Pusat Pengajian UiTM Cawangan Perak yang merupakan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal. Ini mama papa kena ambil tahu!


Pagi ini saya mendapat mesej daripada seorang sahabat lama dari zaman sekolah dahulu kala, mama ini memberitahu bahawa anak lelakinya berusia 6 tahun telah secara tidak sengaja terbuang air kecil di dalam seluar (terkencing) semasa diuji untuk pementasan drama akhir tahun di tadikanya.

Ketakutan ketara seperti ini memang menjadi kebiasaan untuk kanak-kanak jika mereka ‘diuji’ di peringkat pendidikan praformal antara usia 0-6 tahun (atau sebelum ke sekolah rendah).

Pada masa yang sama, ramai papa dan mama hari ini amat teruja dan berbangga jika si kecil kesayangan mereka mendapat markah atau skor ujian tertinggi di tabika atau di tadika. Terus foto diambil dan dikongsi untuk mendapatkan sebanyak mungkin ‘Like’ dan pujian di Instagram, Facebook atau paling tidak dalam kumpulan WhatsApp selagi boleh.

Lebih pelik, ada mama dan papa yang percaya bahawa tadika yang tidak menguji kemampuan otak (kognitif) si kecil mereka adalah tadika yang teruk lagi tidak berkualiti!

Lihat Perkembangan Anak, Bukan Perbandingan

Jika dilihat secara kritis dan difikir secara positif, ujian dan penilaian untuk kanak-kanak pada peringkat usia pendidikan praformal boleh menjadi suatu keperluan, terutama sekali untuk langkah-langkah intervensi membantu si kecil yang bermasalah pembelajaran dan juga untuk mengenalpasti si kecil yang mempunyai potensi pintar cerdas dan genius yang jauh melangkau tahap perkembangan kanak-kanak yang seumur dengannya.

Dari sudut pandang yang berbeza, peperiksaan atau ujian dan penilaian boleh menjadi bebanan pada peringkat usia pendidikan praformal jika semuanya dilakukan tanpa sebab yang konkrit atau sekadar menunjuk-nunjuk bahawa tadika berkenaan berbentuk ‘akademik’ berbanding tadika lain.

Peperiksaan atau ujian dan penilaian juga akan menjadi beban besar pada bahu si kecil jika mama dan papa serta para pendidikan prasekolah hanya membuat perbandingan antara dia dengan kanak-kanak lain, tanpa sedikit pun melihat tahap perkembangan peribadi si kecil berkenaan sejajar dengan masa dan usia fizikalnya.

Untuk diri saya sendiri, saya akan mengambil jalan tengah iaitu bersetuju dengan sebarang ujian atau penilaian ke atas anak kecil saya, namun saya hanya akan membandingkan kemajuannya dengan dirinya sendiri sahaja.

Pada masa yang sama, saya juga tahu dan sedar bahawa pada peringkat pendidikan praformal, pola perkembangan kognitif si kecil adalah tidak menentu. Misalnya, minggu ini dia sudah hafal abjad A sampai Z, mungkin minggu depan dia hanya tahu A, B dan C sahaja.

Tetapi, saya juga tidak akan berasa terkejut apabila pada bulan hadapan, si kecil saya sudah boleh mengeja beberapa perkataan yang dia dengar dan baca! Begitulah hebatnya dunia si kecil kontemporari dan tahap perkembangan dirinya semasa usia pendidikan praformal 0-6 tahun. Didoakan papa dan mama serta semua pendidik prasekolah tidak akan pernah terlupa realiti ini!

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...