loading...

Dewan Rakyat Kecoh Isu ECRL

KUALA LUMPUR: Isu projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang dibangkitkan Ahli-ahli Parlimen pembangkang mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Ketegangan bermula apabila Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) dalam soalan tambahannya ingin tahu sama ada Kerajaan Kelantan dan Terengganu boleh mengambil alih projek itu jika ia dihentikan kerajaan Persekutuan.

“Kalau kerajaan Persekutuan menghentikan projek ini semasa perundingan dan kerajaan negeri di Pantai Timur ingin ambil inisiatif sendiri teruskan projek ini, apa pandangan menteri?,” katanya.

Soalan Takiyuddin itu kemudiannya dijawab oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dengan sindiran apabila beliau mempersoalkan kemampuan Kerajaan Kelantan.

“Tentang cadangan YB bahawa kerajaan Kelantan dan Terengganu ingin ambil alih ECRL, saya tunggu suratlah sekiranya berminat nak buat demikian.

“Tetapi dalam masa sama saya fikir macam mana Kelantan mampu buat sedangkan gaji anggota perkhidmatan pun tak mampu dibayar,” katanya.

Jawapan Guan Eng menimbulkan rasa tidak puas hati Takiyuddin yang meminta Ahli Parlimen Bagan itu menarik balik kenyataan yang dianggap mengelirukan dewan.

“Bila kerajaan negeri Kelantan tak bayar gaji? Boleh beritahu bila? Jangan tuduh, ini dah seleweng dewan,” katanya.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang lain turut mempertahankan Takiyuddin antaranya Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjon Karang) dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang).

Guan Eng kemudiannya menjelaskan kenyataan Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangan awam dan dibantu oleh kerajaan Persekutuan dibuat sendiri oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Bagaimanapun, jawapan tersebut masih tidak memuaskan hati ahli Parlimen pembangkang yang terus membuat kecoh.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff kemudiannya memberitahu Guan Eng telah memberi penjelasan dan mengarahkan sebarang isu berbangkit diselesaikan di luar dewan.

Previous
Next Post »
loading...