KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahidan Kassim tampil mengaku disiasat polis melibatkan kes cabul susulan laporan polis difailkan keluarga seorang gadis berusia 15 tahun yang kemudiannya ditarik balik.
Ahli Parlimen Arau itu yang tampil mengadakan sidang media di perkarangan Parlimen bagaimanapun mempersoal bagaimana perkara itu boleh tular sedangkan laporan polis telah ditarik balik.
Ditanya sama ada beliau mengesyaki terdapat musuh politik ataupun individu yang sengaja ingin menjatuhkan reputasi beliau, Shahidan menjawab ada manusia yang memilih jalan sebegitu.
“Allah menyediakan syurga dan neraka. Jadi ada orang memilih neraka, dia buatlah cara (hendak masuk) neraka.
“Ada yang memilih syurga, buat cara (hendak masuk) syurga. Mempamerkan aib itu adalah sesuatu yang tidak wajar.
“Lagipun saya kesal kerana ia melibatkan kanak-kanak dan gambar kad pengenalannya itu yang dipamerkan. Kesian budak ini, dia bukan ada kepentingan apa-apa.,” katanya kepada media dalam menjelaskan berhubung perkara tersebut.
Shahidan bagaimanapun enggan menyatakan mengapa keluarga kanak-kanak itu menarik semula laporan polis.
Malah, beliau turut mengaggap kanak-kanak ibarat anak mahupun cucunya sendiri.
“Semua orang ini anak dan keluarga saya. Saya telah lama dalam politik. Sudah pasti mereka anggota keluarga saya.
“Semua orang saya anggap macam tu. Saya bukan terlibat dalam LGBT, saya.. ya cukup lah,” katanya.
Baru-baru ini, tular di media sosial apabila seorang bekas menteri dilaporkan sedang disiasat polis berhubung kes cabul.