loading...

Perubahan Dasar Kerajaan Tidak Jejaskan Pelaburan – Tun M

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan sebarang perubahan dasar kerajaan tidak akan menjejaskan pelaburan dan usaha sama pelabur di negara ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan kini dalam proses melaksanakan penstrukturan bagi memastikan ketidaktentuan pasaran kewangan dan kejutan global dapat ditangani dengan baik.

“Kerajaan yakin bahawa dasar baharu yang akan dilaksanakan akan membina asas kukuh, kestabilan dan perbelanjaan yang berhemah dalam memperkasakan semua sektor termasuk swasta.

“Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan Jumaat depan dirangka untuk meletak Malaysia di atas asas yang kukuh, sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Persekutuan Penganalisis Teknikal Antarabangsa 2018 (IFTA 2018) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Penganalisis Teknikal Malaysia (MATA), Datuk Dr Nazri Khan dan Presiden MATA, Nik Mohd Ihsan Raja Abdullah.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata kerajaan mampu membawa ekonomi negara ke arah yang lebih baik walaupun berdepan pelbagai cabaran global dan ketidaktentuan pasaran.

“Dasar kerajaan akan sentiasa mesra perniagaan dan sentiasa terbuka terhadap idea serta cadangan baharu.

“Pasaran Malaysia juga perlu melalui perubahan dan penyatuan, bagi menyesuaikan dengan teknologi baru, sekali gus memenuhi kehendak semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bidang penganalisis teknikal di negara ini perlu diteroka dengan lebih meluas untuk merapatkan jurang dalam industri kewangan negara.

“Penganjuran IFTA 2018 dengan pelbagai topik yang dibincangkan, mampu memenuhi keperluan dan sentimen pasaran semasa, bersesuaian dengan slogan Malaysia Baharu,” katanya.

Previous
Next Post »
loading...