loading...

Harta, Kemewahan Tak Sama Seperti Dapat Anak. Siti Elizad Terus Menanti Zuriat Lepas Buang Cyst

Pelakon Siti Elizad memberitahu dia juga seperti wanita lain yang tidak mengharapkan harta benda atau kemewahan namun hanya ingin dikurniakan zuriat.

Elizad, 34, berkata disebabkan itu dia perlu menjaga dirinya selepas melakukan pembedahan membuang ketumbuhan cyst (sista) pada awal September lalu.

“Sebenarnya perempuan ini bukan nak apa-apa pun. Bagilah harta atau kemewahan sekali pun tetapi dia mesti nak ada zuriat. Dikurniakan seorang cahaya mata pun sudah mencukupi.

Elizad hanya berehat sebulan selepas jalani pembedahan.“Saya nak anak sebab itu kena jaga diri. Lagi-lagi selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan cyst baru-baru ini.

“Pada mulanya, saya tak nak buat pembedahan itu sebab dua tahun lepas, saya pernah jalani pembedahan yang sama dan doktor itu membuang cyst itu bersama ovari sebelah kiri.

“Tapi alhamdulillah untuk pembedahan kali ini, doktor hanya buang cyst sahaja supaya saya masih berpeluang untuk hamil,” katanya.

Sebelum ini, pelakon drama Syurga Yang Kedua ini melakukan pembedahan membuang ketumbuhan cyst (sista) sepanjang lapan sentimeter.

Suami larang melakonkan babak yang boleh mencederakan diri

Dalam pada itu, pemilik nama Siti Elizad Mohamad Sharifuddin ini sudah mula memasuki set penggambaran selepas sebulan berehat.

Menurut Elizad, suaminya iaitu Shamsul Baharin Rahman turut melarang dia melakukan babak yang mencederakan dirinya.

“Alhamdulillah, keadaan saya semakin pulih. Tapi itulah, saya orang yang tak suka duduk rumah. Jadi, sekarang saya dah mula masuk set penggambaran.

“Sebulan sahaja saya berehat. Sepatutnya saya perlu berehat dalam masa tiga bulan tapi saya jenis suka bekerja dan tak boleh duduk diam.

“Tapi suami dah berpesan jangan lakukan babak seperti jatuh atau yang boleh mencederakan diri. Kalau dia tahu saya buat, dia akan terus datang ambil saya di set,” ujarnya.

Sumber: Mstar Online

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...