loading...

Tiada Had Masa Hapuskan Akta Hasutan – Tun M

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak menetapkan had masa tertentu bagi menghapuskan Akta Hasutan 1948 kerana ia mesti dibentangkan di Parlimen dan memerlukan masa.

Perdana Menteri berkata, buat masa ini, kerajaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga maka ia akan mengambil masa untuk akta itu dihapuskan.

“Kita tidak boleh tentukan lagi tempoh masanya dengan tepat. Kita mempunyai sejumlah undang-undang yang mahu dimansuhkan dan dipinda, jadi ia memakan masa.

“Ini kerana Peguam Negara perlu melihat semua undang-undang baru dan ada antara undang-undang itu membabitkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku ‘Tun Ismail Mohd Ali – Paragon of Trust and Integrity’ di Sasana Kijang di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian mengulas mengenai pemansuhan Akta Hasutan yang dikatakan mahu dimansuhkan kerajaan selepas mengambil alih pentadbiran negara.

Baru-baru ini, akta berkenaan digunakan polis bagi menahan adik kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, kerana didakwa memuat naik gambar menghina Perdana Menteri di media sosial.

Perdana Menteri berkata, oleh kerana Akta Hasutan belum dapat dimansuhkan, maka ia akan terus dikuatkuasakan dan pihak berkuasa boleh terus menggunakan undang-undang itu.

“Secara peribadi, saya tidak mempunyai masalah sekiranya ada pihak yang menggelar saya dengan pelbagai gelaran tidak enak.

“Saya tidak peduli berkaitan perkara ini (menghinanya), sesiapa yang mahu menggelar saya dengan pelbagai nama, dipersilakan, ” katanya.

Minggu lalu, beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengecam penggunaan Akta Hasutan ketika kerajaan berusaha memansuhkan undang-undang berkenaan.

Antara yang lantang membantah ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang- Undang), Mohamed Hanipa Maidin; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah; Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dan Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya.

Menjawab bantahan itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata kerajaan tidak mengeluarkan sebarang arahan supaya Akta Hasutan 1948 digunakan terhadap mana-mana pihak.

“Tidak ada arahan daripada pihak pimpinan kerajaan supaya akta itu digunakan ke atas mana-mana individu tertentu seperti didakwa, malah kerajaan PH tidak menggalakkan supaya akta itu digunakan,” katanya.

Previous
Next Post »
loading...