KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini didakwa dengan 45 pertuduhan pecah amanah, menerima rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM114 juta di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Bagaimanapun, tiada pengakuan bersalah yang direkod daripada beliau di atas ke semua pertuduhan tersebut yang dibacakan oleh di hadapan hakim Azura Alwi.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diikat jamin sebanyak RM2 juta bagi kesemua 45 pertuduhan termasuk menyerahkan passpot kepada mahkamah sehingga selesai kes ini dibicarakan. Mahkamah juga menetapkan tarikh sebutan semula kes Ahmad Zahid Hamidi pada 14 Disember ini.
Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan mengetuai barisan pendakwaan yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustafa P. Kunyalam, T. Deepa Nair dan Nadia Mohd Izhar.
Manakala Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diwakili 12 peguam diketuai Hisyam Teh Poh Teik dan dibantu antaranya Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Kitson Foong.
Seawal jam 7 pagi, kira-kira lebih seribu ahli UMNO telah mula berkumpul di luar pintu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk memberikan sokongan moral kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut kelihatan, kepimpinan tertinggi UMNO seperti Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Musa Sheikh Fadhir, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Lokman Noor Adam dan Datuk Armand Azha.
Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga turut hadir dan dilihat memasuki bangunan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk memberikan sokongan moral terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.