loading...

Anak Terlampau Kuat Merajuk, Jangan Label Negatif Tapi Ada Trik Pulihkannya!

Ibu ayah yang mempunyai anak 1 hingga 2 tahun pasti berdepan dengan masalah anak yang kuat merajuk. Baik anak lelaki, lebih-lebih lagi anak perempuan, merajuk umpama aktiviti harian tetap mereka.

Puas juga melayan rajukan, malah ada kalanya ibu ayah ketawa sendiri melihat gelagat anak mereka. Merajuk bukan main. Mulut makin lama, makin muncung.

Tapi inilah emosi yang mampu ditunjukkan oleh anak sekecil ini. Puan Aisyah Kassim, Patologis Pertuturan-Bahasa mengungkap hal ini. Ada perkara dan teknik yang boleh ibu ayah lakukan untuk selesaikan masalah ini.


Menurut teori perkembangan kognitif  (kemahiran berfikir) Piaget, kanak-kanak berusia 0-2 tahun berada dalam tahap perkembangan sensorimotor di mana mereka belajar dengan cara melihat, mendengar, merasa, menggenggam dan menghisap.

Mereka mula meneroka dan belajar melalui kaitan sebab dan akibat. Di mana mereka akan cuba memanipulasi sebab untuk melihat akibat perbuatan mereka. Sebagai contoh, mereka menangis untuk mendapatkan sesuatu seperti mainan dan sebagainya.

Mengikut Dr. Robert Marvin, Pakar Psikiatri kanak-kanak, kanak-kanak 2 tahun sudah boleh merasai pengalaman emosi yang menyeluruh. Jadi pada usia ini, mereka baru mula untuk belajar memahami dan mengawal emosi-emosi tersebut. Ini menyebabkan emosi kanak-kanak sentiasa berubah dengan cepat.

Jadi, tak hairanlah pada usia 1-2 tahun ini kanak-kanak akan mencuba pelbagai cara untuk memanipulasi keadaan dan orang-orang sekeliling mereka termasuklah merajuk. Mereka akan menangis, merengek, menjerit atau memukul sebagai tanda proses.

Faktor Dan Kesan Emosi

  1. Kanak-kanak 1 hingga 2 tahun mempunyai kosa kata yang sedikit. Hal ini buat mereka sukar nak sampaikan kehendak dan emosi mereka secara verbal. Jadi cara terbaik adalah dengan merajuk.
  2. Ibu ayah pula gagal untuk untuk fahami dan ekspresikan emosi mereka dengan betul. Maka akan berterusan dan semakin lama makin sukar untuk ditangani.
  3. Anak kecil seawal 1-2 tahun juga mempunyai daya berfikir yang terhad. Mereka tak punya altenatif lain untuk mengekpresikan emosi mereka. Merajuk adalah salah satu jalannya.
  4. Ingat bahawa kanak-kanak merajuk disebabkan oleh keinginan mereka untuk mendapatkan perhatian dari orang dewasa. Bagi mereka, semua perhatian dari orang dewasa adalah perlu.

Jadi apa ibu ayah perlu buat?

  1. Ibubapa boleh menggunakan cara mengalihkan perhatian mereka pada sesuatu yang lain. Dengan cara ini, mereka akan belajar adanya alternatif lain untuk mereka lakukan dan pastinya lebih menyeronokkan.
  2. Cara ini juga membolehkan mereka untuk belajar mengawal emosi.
  3. Ibubapa perlu belajar untuk membezakan jenis rajukan anak supaya mengelakkan ia berterusan hingga meningkat usia.
  4. Kanak-kanak 1-2 tahun memang masih kecil dan comel, tapi jangan terpedaya kerana mereka juga boleh menjadi sangat manipulatif. Mereka akan cuba memanipulasi keadaan untuk mendapatkan keinginan mereka.
  5. Ibu ayah perlu respond bila anak merajuk supaya sikap ini tidak terbawa-bawa hingga besar.
  6. Ingat bahawa rajuk adalah sebahagian daripada proses pembelajaran untuk membentuk emosi dan tingkah laku mereka.
  7. Ajar anak untuk melabel emosi mereka. Ibubapa tak boleh mengharapkan anak-anak memberitahu emosi mereka sedih, gembira, dan sebagainya kerana mereka masih lagi tidak memahami kosa kata tersebut. Tapi anda boleh mengajar mereka dengan melabel emosi tersebut.
  8. Contoh “adik marah ke” atau adik sedih ya” dan sebagainya mengikut situasi yang sesuai. Cara ini kanak-kanak boleh belajar bahawa ada perkataan yang boleh mereka gunakan untuk sampaikan perasaan mereka.
  9. Apabila usia anak menghampiri 3 tahun, mereka sudah mulai faham perkataan tersebut dan mereka akan meluahkannya melalui perkataan yang mana ianya lebih sesuai.

Ingat pengajaran ini bukan sekadar belajar tentang perasaan, tetapi ianya pembelajaran awal untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat, menguruskan kemarahan, memahami perasaan dan bergaul dengan orang lain.

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...