loading...

Golongan Penternak, Petani ‘Wira Tidak Didendang’

Oleh : Saadah Latib

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sentiasa menyokong program yang dilaksanakan oleh petani, penternak dan nelayan dalam memartabatkan industri pertanian negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Dato’ Mohd Sallehuddin Hassan berkata, golongan yang menceburi bidang ini merupakan ‘unsung hero’ yakni wira tidak didendang tetapi banyak berjasa kepada negara.

“Golongan petani, penternak dan nelayan sentiasa dekat di hati saya, walaupun sering kali terdedah dengan pelbagai risiko namun golongan ini terus cekal berusaha tanpa mengenal erti penat lelah bagi memastikan bekalan makanan yang mencukupi kepada kita semua.

“Oleh yang demikian saya amat menyanjungi sumbangan oleh mereka yang juga merupakan ‘unsung hero’ ataupun wira yang tidak didendang,” katanya ketika berucap pada perasmian Gala Dinner dan Konsert Gegar anjuran Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (GTR) di MAEPS Serdang, semalam.

Tambah beliau, kementerian di bawah pimpinan Dato’ Salahuddin bin Ayub Menteri sentiasa berusaha dalam mewujudkan transformasi baharu untuk menangani permasalahan dalam memenuhi permintaan pengeluaran makanan negara.

“Banyak permasalahan yang perlu kita atasi seperti kekurangan tanah, isu biji benih, baka ternakan untuk meningkatkan pengeluaran dalam sektor ini.

“Dalam bidang pertanian ini perlu ada inovasi dan minat yang mendalam menerusi bidang penyelidikan kerana cara ini kita dapat menangani isu dan masalah ini,” katanya.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Previous
Next Post »
loading...