loading...

BERSATU Tidak Akan Ikut Jejak UMNO

BANGKOK: Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak akan runtuh seperti mana dialami UMNO.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU berkata, parti itu dibentuk atas dasar keperluan mempunyai parti berasaskan Melayu sebagai pilihan kepada pengundi kaum itu.

Berdasarkan pemerhatian pada pilihan raya umum 2008 dan 2013, beliau mendapati sukar untuk meyakinkan pengundi Melayu mengubah kerajaan, terutama mereka yang berada di luar bandar.

“Mereka terus mengundi UMNO dan pembangkang gagal mendapatkan sokongan golongan ini untuk meraih kejayaan.

“Oleh kerana sokongan orang Melayu adalah perlu, kami menubuhkan sebuah parti mirip UMNO dengan kelainan tersendiri,” katanya ketika berucap dalam majlis makan tengah hari bersama diaspora Malaysia di sini, hari ini.

Ketika sesi soal jawab, Dr Mahathir ditanya jika ada jaminan BERSATU tidak akan mengikuti jejak langkah UMNO selepas pemimpin veteran itu berundur sepenuhnya daripada politik.

Menjawab soalan itu, Dr Mahathir menegaskan tidak mahu melihat BERSATU menjadi UMNO baharu, dalam erti kata dicemari isu rasuah.

“Kita lebih cenderung menjadi seperti UMNO yang dibentuk pada 1946. Ketika itu, UMNO amat komited sebagai kerajaan yang baik di Tanah Melayu dan juga memperjuangkan kemerdekaan tanah air.

“Bagaimanapun, UMNO yang diterajui Najib (Datuk Seri Najib Razak) lebih banyak mencuri duit dan menjalani kehidupan mewah menggunakan wang curi.

“Kita tidak boleh menjadi seperti UMNO sekarang, tetapi kita boleh lebih teratur seperti UMNO supaya ahlinya merangkumi orang Melayu dan mereka dari Sabah serta Sarawak,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Mahathir diajukan pelbagai soalan, merangkumi aspek ekonomi, projek kereta nasional ketiga, bantuan kewangan untuk pendidikan dan juga hak wanita di Malaysia.

Menyentuh soal ekonomi, Perdana Menteri berpegang kepada pendirian bahawa pentadbiran terdahulu meninggalkan negara dalam keadaan kucar-kacir, bagaimanapun, katanya, proses pemulihan berjalan dengan baik mengikut perancangan.

“Proses pemulihan negara berjalan lancar dan kita akan pulih sepenuhnya. Ia akan mengambil masa yang panjang, namun dalam setahun dua, kita berupaya mempunyai asas kukuh ke arah pemulihan Malaysia,” katanya.

Previous
Next Post »
loading...