PORT DICKSON: Persaingan sengit dalam pemilihan PKR tidak menjejaskan gerak kerja jentera kempen Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Calon PH bagi PRK itu berkata semua ahli parti itu telah diingatkan untuk mengetepikan soal persaingan mereka dalam pemilihan itu demi kepentingan parti di PRK tersebut.
“Tidak terjejas (kempen) mereka semua datang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Mohd Rafizi Ramli pun ada di sini. Saya sudah ingatkan mereka semua untuk datang.
“Mereka datang sebagai satu keluarga dan bekerja bersama-sama dalam mengadakan ceramah dan program, tidak timbul isu kempen terjejas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program kempen bersama penduduk Taman Tanjung Gemuk di sini, hari ini.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lepas bagi memberi laluan kepada Anwar yang menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Hari mengundi ditetapkan pada 13 Oktober manakala pengundian awal akan diadakan esok.
Mengulas mengenai kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam yang mengingatkan anggota kabinet dan anggota politik yang memegang jawatan dalam kerajaan supaya tidak menjalankan aktiviti berkempen pada waktu kerja, Anwar berkata beliau menghormati teguran itu dan telah meminta semua anggota parti dalam PH untuk mematuhinya.
“Saya cuma mahu minta SPR supaya bersikap sedikit bertimbang rasa. Sebagai contoh semasa saya naik kereta Menteri Pertahanan Mohamad Sabu untuk pergi ke kem baru-baru ini adalah kerana dia tidak boleh naik ke kenderaan saya atas sebab protokol keselamatan tentera.
“Jadi saya yang tumpang kereta dia tetapi itu ditegur sebagai salah guna, saya rasa hal itu juga perlu ditimbang oleh SPR,” tambahnya.