Oleh : Saadah Latib
PUNCAK ALAM: Budaya gotong royong perlu dijadikan amalan dalam kalangan masyarakat demi menjaga kemaslahatan penduduk.
Menurut Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Tan Sri Rozali Ismail, umat Islam khususnya perlu menekankan aspek kebersihan dan kesucian kerana ianya mencerminkan nilai murni seseorang.
“Sewajarnya kita sebagai umat Islam, umat yang terbaik dan yang terpilih menjadi khalifah ini menjuarai aspek kebersihan.
“Dari perspektif Islam, kebersihan diri, pakaian rumah adalah fardhu ain kerana melaluinya kita melaksanakan tuntutan fardhu ain yang lain seperti solat, mencari rezeki dan melaksanakan tanggungjawab kepada keluarga,” katanya ketika berucap pada perasmian program Gotong Royong Perdana Bandar Puncak Alam Siri ke-5 di Masjid Puncak Alam, semalam.
Aktiviti gotong royong anjuran Puncak Niaga ini diketuai oleh Masjid Puncak Alam dengan kerjasama daripada Permuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam dan dihadiri hampir 500 peserta dalam kalangan penduduk serta pelajar Universiti Teknologi MARA (UITM) Puncak Alam.
Tambah Rozali, melalui aktiviti ini ianya bukan sahaja bertindak untuk memberi kesedaran berkenaan kebersihan malah dapat mendekatkan penduduk dengan masjid.
“Melalui kolaborasi ini adalah diharapkan kariah dan orang ramai akan menjadi lebih akrab dengan masjid.
“Mudah mudahan kita tergolong dalam salah satu golongan yang mendapat perlindungan Arash di padang Masyhar,” ujarnya.