MACHANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kelantan menjangkakan lebih ramai pemimpin dan ahli UMNO akan mengikuti jejak langkah Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk menyertai parti itu.
Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md Noor, berkata Mustapa atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Pa sudah pasti tidak akan ’berhijrah’ berseorangan, cuma soal masanya belum tiba.
Beliau percaya Tok Pa akan menjadi tonggak penting apabila menjadi satu-satunya Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili BERSATU di negeri ini.
“Kita akan menjadi lebih kuat dalam usaha untuk meningkatkan prestasi Pakatan Harapan (PH) dan BERSATU di negeri ini dan menambah sokongan dalam kalangan rakyat yang menyokong UMNO sebelum ini.
“Oleh kerana Tok Pa satu-satunya Ahli Parlimen dan ADUN yang akan mewakili Dewan Rakyat serta DUN Kelantan, saya menjemput beliau untuk berada di barisan kepemimpinan BERSATU Kelantan. Jawatannya akan dibincangkan kemudian,” katanya selepas merasmikan Persidangan Tahunan BERSATU Bahagian Machang, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Mustapa yang menyertai BERSATU malam tadi selepas mengumumkan keluar UMNO pada 18 September lalu.
Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, Tok Pa seorang yang bagus dalam bekerja selain akhlak, moral serta imej yang baik sekali gus menjadi pemimpin yang sangat diperlukan dalam BERSATU.
“Kita sebenarnya sudah lama menjangkakan Tok Pa akan sertai BERSATU selepas keluar UMNO kerana bagi orang politik yang masih aktif apabila meninggalkan sesuatu parti, sudah pasti akan memikirkan untuk ke tempat lain.
“Sebenarnya saya ada dihubungi Tok Pa sebelum beliau keluar UMNO namun tidak bercakap secara terus untuk sertai BERSATU. Malah, selepas keluar UMNO sekalipun saya ada dihubungi bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkenaan,” katanya.