PUTRAJAYA: Tindakan bekas pemimpin yang didakwa merompak dana syarikat pelaburan 1MDB, adalah tergolong dalam perbuatan maksiat terbesar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, perbuatan itu membawa kepada kerosakan dan kehancuran.
“Itulah bala yang paling besar sebenarnya,” katanya.
Menurutnya, masyarakat perlu memahami konteks maksiat yang lebih luas.
“Jadi kita jangan asyik sebut sahaja benda maksiat yang nampak seperti minum arak, berzina dan sebagainya. Itu maksiat kita kena cegah,” katanya.
Beliau berkata, menindas rakyat, golongan kapitalis yang hanya pentingkan kekayaan dan mengaut kemewahan serta pembaziran juga adalah perkara yang mengundang bala.
“Dalam ayat Al-Quran ada menyebut bala yang menimpa penduduk di situ di kalangan golongan yang mutrofin (orang yang bermewah dan membazir) dalam kehidupan mereka termasuklah rasuah.
“Pemimpin-pemimpin yang terlibat dengan rasuah bukan sikit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muzakarah Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan Malaysia kali ke 14 di sini hari ini.
Minggu lalu, Ketua pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen mendakwa kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda bandar Palu di Sulawesi, Indonesia baru-baru ini adalah balasan Tuhan terhadap aktiviti golongan lesbian, gay, biseksual dan trangender (LGBT).
Skandal 1MDB menjadi tumpuan dunia selepas bekas pegawai Bank Swiss, Xavier Justo menyerahkan beribu-ribu dokumen serta 227,000 emel daripada sistem pelayan komputer bekas majikannya, Petrosaudi, kepada seorang Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.
Dokumen yang dibocorkan Justo itu telah mencetuskan rangkaian tindak balas yang membuka kepada siasatan oleh sekurang-kurangnya enam buah negara.
Peguam Negara Amerika Syarikat, Loretta Lynch menyifatkan skandal 1MDB sebagai kes penyelewengan terbesar di dalam sejarah.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdepan dengan 32 pertuduhan berkaitan 1MDB di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.