loading...

Perlu Ada Pemilihan Semula – Ku Li

KUALA LUMPUR: Jemaah Penasihat UMNO akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat bagi membincangkan soal parti termasuk kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden parti itu.

Pengerusinya, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata hasil mesyuarat itu akan dibentangkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk tindakan selanjutnya.

“Mengenai apa yang berlaku baru-baru ini, sudah tentu Jemaah Penasihat UMNO akan mengadakan mesyuarat kerana kesannya amat mendalam dan saya kena cermat.

“Dengan apa yang berlaku di mahkamah (pendakwaan Ahmad Zahid), semua perkara itu kena diambil kira,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku ‘The End Of UMNO? Post GE-14’ di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai 45 pertuduhan yang dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri itu di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Tengku Razaleigh yang juga ahli Parlimen Gua Musang berkata, UMNO perlu mengadakan semula pemilihan jawatan Presiden parti itu jika Ahmad Zahid terpaksa melepaskan jawatannya.

“Saya ada terbaca di akhbar dan blog yang meminta Ahmad Zahid bercuti daripada jawatannya dan ada juga yang memintanya melepaskan jawatan.

“Namun, yang membuat macam-macam permintaan dan gesaan itu bukannya daripada akar umbi parti,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, UMNO perlu diletakkan kembali di atas landasan yang betul kerana sejarah negara adalah hasil perjuangan parti terbabit.

“UMNO masih kuat kerana kita memiliki 49 kerusi di Parlimen. Saya sendiri sudah berusia 82 tahun dan ini adalah penggal terakhir saya. Selepas ini saya akan bersara,” katanya.

Previous
Next Post »
loading...