loading...

Tempoh Pengundian PRK Port Dickson Berakhir

PORT DICKSON: Semua pusat pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson ditutup secara rasmi, jam 5.30 petang ini.

Ia membabitkan 54 pusat pengundian dengan 132 saluran di Parlimen berkenaan yang mempunyai lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Chuah, Lukut, Sri Tanjung, Bagan Pinang dan Linggi.

Proses penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), bermula petang ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan rasmi diumumkan seawal jam 9 malam atau selewat-lewatnya jam 10 malam ini.

Setakat jam 4 petang tadi, sejumlah 54 peratus daripada 68,317 pemilih berdaftar sudah menunaikan tanggungjawab mereka.

Proses pengundian awal bagi 7,191 anggota pasukan keselamatan diadakan pada 9 Oktober lalu di tiga pusat mengundi membabitkan 13 saluran.

Mereka merangkumi 6,636 anggota tentera dan pasangan masing-masing yang mengundi di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) dan Kem Segenting PD serta 555 anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

Bagaimanapun, daripada jumlah 7,191 itu, hanya 63 peratus atau 4,564 keluar mengundi selain 77 pengundi awal lagi memohon untuk mengundi secara pos iaitu masing-masing 23 anggota polis dan 54 anggota tentera. – BH

Previous
Next Post »
loading...