loading...

Itu Baju Korporat Kementerian – Chin Tong

LUMUT: Pakaian yang dipakai Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong yang tular di laman sosial mendakwa ianya menyerupai seragam komunis adalah tidak benar.

Chin Tong berkata, pakaian itu adalah pakaian korporat Kementerian Pertahanan dan ia turut dipakai Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Menurutnya, sebagai pemimpin dari kalangan orang awam, mereka tidak melalui kesukaran dan terbabit dengan latihan ketenteraan untuk memakai seragam tentera dan pemakaian baju korporat itu juga adalah berdasarkan keputusan bersama dengan Mohamad.

“Itu adalah pakaian korporat kementerian… Menteri Pertahanan pakai dan saya juga pakai.

“Salah satu sebab (kami) pakai baju korporat (dan) bukan pakaian tentera kerana ini keputusan Menteri Pertahanan kerana kami orang awam dan kami tidak mahu (memakai) baju tentera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan upacara peletakan lunas Kapal Kombat Litoral (LCS) ke-4 di Limbungan Boustead Naval Shipyard (BNS), Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai viral gambarnya yang didakwa memakai pakaian seragam komunis di hadapan tentera Melayu.

Gambar yang tular itu menunjukkan Chin Tong memeriksa barisan tentera dengan kapsyen ‘Hari ini dengan sengaja Timbalan Menteri Pertahanan berpakaian seragam komunis di hadapan tentera Melayu ini sikap kurang ajar’.

Chin Tong berkata, baju korporat itu juga sudah dipakai sejak dulu.

“Jika dahulu menteri memakai seragam tentera jadi mungkin ada yang tidak tahu mengenai baju berkenaan sehingga ia menjadi isu yang dibangkitkan sesetengah pihak.

“Saya tidak tahu siapa yang menjadikan isu dan saya tak faham (pemakaian baju itu dijadikan isu),” katanya.

Previous
Next Post »
loading...