loading...

Menyusu Anak Masa Hamil Selamat! 4 Keadaan Sahaja Yang Perlu Diberi Perhatian. Bimbang  Boleh Rangsang Kontraksi

Apabila disahkan mengandung, kebanyakan ibu dalam dilema sama ada mahu bercerai susu ataupun terus menyusu. Hal ini berlaku kesan daripada konflik yang dialami setelah mendapat nasihat daripada ahli keluarga, kawan-kawan mahupun doktor.

Pakar Laktasi, Rita Rahayu Omar menyatakan, setakat ini belum ada bukti yang mengesahkan kehamilan boleh memudaratkan kandungan. Namun, jika pernah keguguran berturut-turut, melahirkan bayi pramatang, hamil kembar dan menunjukkan tanda-tanda akan melahirkan lebih awal daripada tarikh jangkaan, anda perlu beri perhatian sewajarnya kerana oksitosin boleh merangsang kontraksi dan boleh menyebabkan kelahiran pramatang.

Golongan ibu yang perngah mengalami 4 keadaan sebegini dikategorikan sebagai berisiko. Oleh kerana itulah, ibu ini biasanya dinasihatkan untuk bercerai susu.

Walau bagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa rahim tidak memahami ‘mesej’ daripada oksitosin untuk memulakan kontraksi sehinggalah kandungan berusia lebih kurang 24 minggu. Jadi, penyusuan sehingga kandungan berusia 20 minggu masih dianggap selamat untuk ibu yang berisiko.

Tak perlu bercerai susu mendadak

Oleh yang demikian, anda tidak perlu bercerai susu secara mendadak. Sekiranya bercadang meneruskan penyusuan susu ibu, anda perlu mengambil kira beberapa perkara penting iaitu sejarah perubatan, tahap keselesaan fizikal dan emosi; usia anak dan keperluan penyusuannya.

Dalam pada itu, penyusuan susu ibu sewaktu mengandung tidak akan menghalang janin mendapatkan zat makanan yang diperlukannya. Malah, tidak akan melemahkan tubuh anda juga. Sewaktu mengandung, amat penting untuk anda mengambil makanan berkhasiat, mendapatkan berat badan yang sesuai dan menikmati rehat secukupnya. Apabila anda memperoleh khasiat yang mencukupi, sepatutnya tiada masalah untuk anda membekalkan khasiat untuk kandungan dan anak yang disusukan.

Untuk pengetahuan, sewaktu mengandung, kebanyakan ibu akan mengalami masalah dalam penghasilan susu disebabkan oleh perubahan hormon. Malah, sewaktu trimester kedua, susu itu akan mula berubah menjadi kolostrum. Kuantiti dan rasa susu akan berubah secara mendadak. Oleh kerana itulah, kebanyakan anak akan bercerai susu dengan sendirinya setelah menganggap rasa susu berbeza daripada biasa.

Perlu diingat! Jika menyusukan bayi berumur kurang daripada enam bulan sewaktu mengandung, anda perlu memantau perkembangan dan pertambahan berat badannya. Bayi yang berumur enam bulan ke atas pula, biasanya akan berubah selera kepada makanan pejal memandangkan bekalan susu makin berkurangan.

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...