loading...

Rosmah Tiba Di Mahkamah

KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini, pada jam 8.27 pagi.

Rosmah dilihat masuk ke pekarangan mahkamah itu menaiki kenderaan Toyota Alphard berwarna hitam dengan diiringi motosikal trafik dan kereta peronda polis bagi menghadapi pertuduhan berkaitan skandal syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd dan pengubahan wang haram.

Beliau yang memakai baju kurung dan selendang jingga masuk ke lobi kompleks mahkamah dengan diiringi beberapa kakitangan SPRM terbabit.

Rosmah juga kelihatan tenang dan sempat tersenyum kepada wakil media sebaik tiba.

Tinjauan di sekitar lobi mahkamah itu mendapati lebih 100 pengamal media daripada pelbagai agensi berita tempatan dan asing mula berkumpul sejak jam 7 pagi ini bagi mengikuti perkembangan siasatan kes berkenaan.

Sementara itu, turut kelihatan kira-kira 20 penyokong Rosmah termasuk pelakon, Ellie Suriaty yang berkumpul di sekitar lokasi sama bagi memberi sokongan terhadap beliau.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan Rosmah berhubung siasatan pengubahan wang haram selepas SPRM mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

Susulan itu, Rosmah akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Rosmah bermalam di lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas ditahan pada jam 3.20 petang semalam.

Rosmah ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya itu ketika memberi keterangan kali ketiga.

Previous
Next Post »
loading...