loading...

M’sia Gagal Kutip Pingat Hari Kedua Kejohanan Remaja Asia

KUALA LUMPUR – Pasangan negara, Tun Ameerul Luqman Al-Hakim dan Mohd Hafiz Zainuddin gagal mempamerkan aksi cemerlang apabila hanya menduduki tempat kelima acara berpasangan lelaki Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-19 di Manila, Filipina hari ini.

Tun Ameerul dan Hafiz mencatat 424-509-516-389-386-362 untuk melakukan keseluruhan 2,586 jatuhan pin, demikian menurut laman web Persekutuan Boling Asia (ABF), www.abf-online.org.

Pasangan Korea Selatan Han Jae Hyeon-Lee Ju Hyung merangkul pingat emas selepas melakukan 479-535-424-462-410-388 untuk keseluruhan 2,698 jatuhan pin meninggalkan pasangan Indonesia, Paolo Hernandez-Muhammad Islam dengan pingat perak setelah hanya melakukan 2,639 jatuhan pin.

Korea Selatan menunjukkan penguasaan mereka dalam kategori berkenaan apabila satu lagi pasangannya, Park Geon Ha-Lim Seong Lyul meraih gangsa selepas mengumpul keseluruhan 2,619 jatuhan pin.

Untuk rekod, skuad boling negara telah meraih satu pingat emas dan perak pada hari pembukaan semalam, masing-masing menerusi Tun Ameerul dan Nur Amirah Auni Azman dalam acara perseorangan lelaki dan wanita.

Dua lagi pingat emas menjadi rebutan, esok – acara berpasukan lelaki dan wanita pada kejohanan dwitahunan itu yang menarik penyertaan peserta dari 15 negara. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...