SITIAWAN – Seorang pekerja membaiki jalan maut dirempuh sebuah kereta semasa kerja-kerja membaik pulih jalan rosak dijalankan di Batu 15, Ayer Tawar di sini, hari ini.
K. Kannan, 29, dari Taman Desa Maju, di sini, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Muhammad Hanif Othman berkata kejadian berlaku apabila mangsa sedang mengawal bendera ketika kerja-kerja menampal jalan rosak di lokasi berkenaan kira-kira pukul 11.55 pagi.
“Tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Toyota Unser yang dipandu seorang lelaki berumur 29 tahun dari arah Ipoh dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas sebelum melanggar kon serta papan tanda pembaikan jalan.
“Kereta tersebut kemudiannya melanggar mangsa yang sedang mengawal bendera sebelum dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Muhammad Hanif berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat. – BERNAMA
Loading...