loading...

Amalan Mencampak Bayi ‘Mingi’ Ke Dalam Mulut Buaya

Di Lembah Omo Barat Daya Ethiopia, hidup sebuah masyarakat tradisional yang masih tidak tersentuh oleh peradaban moden. Hidup ringkas dan harmoni dengan persekitaran kelihatan cukup aman.

Sama seperti kebanyakan suku tradisional yang lain, mereka masih mempercayai perkara-perkara bersifat spiritual. Tapi di sebalik keharmonian dan ketenangan hidup mereka, tersimpan satu kepercayaan kejam.

MINGI! Itulah yang mereka namakan bagi bayi atau kanak-kanak yang menurut pandangan mereka dilahirkan secara tidak normal yang jika dibiarkan hidup, pasti membawa malapetaka kepada kampung!

Suku Karo, suku Bana dan suku Hamer yang menghuni lembah ini percaya, 4 perkara ini adalah tanda-tanda yang seseorang bayi atau kanak-kanak itu adalah mingi:

Picture credit: Dailymail

1. Bayi yang tumbuh gigi atas sebelum gigi bawah.
2. Anak luar nikah.
3. Anak yang lahir dari perkahwinan atau kehamilan yang tidak diiktiraf oleh para ‘orang tua’ dan ketua suku.
4. Bayi kembar.

Keempat-empat perkara di atas akan diiktiraf sebagai mingi oleh ketua suku. Mereka dianggap membawa sumpahan roh jahat yang boleh membawa petaka kepada seluruh kampung. Untuk mengelak malapetaka ini, tidak ada cara lain, mingi harus dihapuskan.

Cara untuk menyingkirkan bayi-bayi malang ini cukup sadis. Mulut mereka disumbat pasir atau dicekik dengan tali. Tidak kurang juga ada yang dibuang ke dalam hutan dibiarkan mati kelaparan atau dimakan binatang liar. Malah ada juga yang dilempar ke dalam sungai menjadi santapan buaya!

Buko Balguda 45 tahun dari suku Karo mendakwa tujuh anak lelaki dan lapan anak perempuannya semua dibunuh kerana diisytiharkan mingi oleh ketua suku.

Picture credit: Dailymail

“Saya kehilangan 15 orang anak. Tujuh lelaki dan lapan perempuan. Pada masa itu, suku kami sangat memegang teguh tradisi. Saya tidak menghormati tradisi, jadi mereka membunuh semua anak-anakku,” ujarnya.

Menurutnya segalanya berpunca sebelum dia berkahwin dengan suaminya. Pada masa itu suaminya tidak mengambil bahagian dalam upacara ‘melompar kerbau’ – satu upacara yang harus dilakukan oleh lelaki dalam sukunya sebelum boleh berkahwin dengan mana-mana wanita.

Akibatnya ketua suku mengisytiharkan semua anak yang bakal dilahirkan olehnya adalah mingi. Akhirnya setiap kali dia melahirkan anak, semuanya dibunuh konon untuk mengelak malapetaka melanda kampung!

Kini kerajaan Ethiopia cuba menghapuskan amalan kuno ini. Ramai kanak-kanak mingi diselamatkan dan ditempatkan di rumah anak-anak yatim. Tidak kurang juga ada ibubapa yang melaporkan kepada pihak polis kerana khuatir anak mereka dibunuh kerana dianggap mingi.

Picture credit: Dailymail

Walaupun suku Karo sudah meninggalkan budaya ini, suku Bana dan suku Hamer masih mengamalkannya. Mereka melakukannya secara rahsia kerana takut ditangkap oleh pihak berkuasa.

Bagi Balguda, hidupnya terasa sunyi akibat tidak memiliki zuriat.

“Pada masa itu saya tidak ada pilihan. Kini apabila saya melihat wanita bersalin dan menyusukan anak, saya rasa sunyi kerana tiada sesiapa di sisi,” ujarnya sayu.

Comments

comments

Previous
Next Post »
loading...