PETALING JAYA – Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mahu kerajaan Myanmar membenarkan bantuan kemanusiaan Misi Food Flotilla Rohingnya.
Presiden KP1M, Datuk Seri Abdul Aziz Abd Rahim berkata, pihaknya berharap Myanmar akan memberikan pelepasan kepada misi berkenaan seperti mana kebenaran diberikan sewaktu misi kemanusiaan yang dijalankan kelab itu lima tahun lalu.
“Kita menghormati mereka. Walaupun surat yang dihantar kelab kita pada 12 haribulan lalu, untuk minta kebenaran sehingga kini kita belum mendapat kebenaran daripada mereka. Kita harap pada kali ini akan dapatkan kelulusan yang sama seperti tahun 2012 yang lalu.
“Kami akan patuh dengan segala perundangan yang telah digariskan dan ditentukan oleh kerajaan Myanmar (nanti). Kehadiran kami bukan nak berperang. Kehadiran kami semata-mata atas nama kemanusiaan untuk kita agih-agihkan bantuan,” katanya pada sidang akhbar di Kontena Nasional di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, jika kerajaan Myanmar masih tidak membenarkan misi bantuan tersebut, pihaknya akan menghantar bantuan melalui Teknaf, Bangladesh.
“Jika Myanmar masih tidak berikan kebenaran misi ini dimana misi yang ini disertai seramai 14 wakil negara seluruh dunia akan pergi melalui Bangladesh,”ujarnya.
Misi yang dijadual berlabuh di Sittwe, Myanmar Selasa depan ditunda selewat-lewatnya 31 Januari sebagai menghormati undang-undang Myanmar.-SuaraTV
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW