KUALA LUMPUR – Duta Besar Amerika Syarikat, Kamala Lakhdir meminta netizen mengesyorkan tempat makanan menarik di Malaysia.
Beliau berkata demikian, menerusi sebuah video berdurasi 0:1:39 saat di laman Facebook rasmi milik kedutaan negara itu.
“Saya Kamala Lakhdir berbesar hati menjadi Duta Besar Amerika Syarikat yang baharu ke Malaysia.
“Saya teruja untuk merasa makanan Malaysia yang hebat. Beritahu saya apa makanan untuk di cuba dan di mana tempatnya,”katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pengalamannya melawat Malaysia kali pertama pada tahun 1990 dan pada masa itu beliau berkunjung dengan menaiki bas dan keretapi.
“Saya melawat Malaysia pertama kali pada tahun 1990 dengan bas dan keretapi. Saya teruja untuk tinggal di negara yang cantik ini bersama rakyatnya yang ramah dan mesra,”katanya.
Menerusi video itu beliau turut berkongsi mengenai profil dirinya yang memulakan kerjaya antarabangsa sejak kecil.
Malah, beliau turut mengakui bapanya yang merupakan warga India itu yang telah berkahwin dengan ibunya, warga Amerika namun banyak mengajarnya cara untuk menghormati budaya lain.
Dalam pada itu, beliau berkata, dahulunya beliau merupakan seorang guru di Kenya dan China sebelum menyertai perkhidmatan luar negara.
“Sepanjang 25 tahun perjalanan karier saya, saya berkhidmat di Riyadh, Jakarta, Beijing, Belfast dan Washington.
“Sebagai Duta Besar, misi saya adalah meluaskan kerjasama dalam perdagangan, alam sekitar, perundangan, pendidikan, kesihatan awam dan pencegahan keganasan,”ujarnya lagi.
Tambahnya, beliau turut mengharapkan dapat menjalinkan hubungan kerjasama yang erat dengan rakyat dan negara ini.
“Saya mengharapkan rakyat Malaysia datang melawat ke Amerika Syarikat dan membina persefahaman antara kita.
“Saya berharap kita bertemu tidak lama lagi. Jumpa lagi,”katanya yang turut mengalukan rakyat Malaysia untuk melawati akaun Facebook kedutaan negara itu.-SuaraTV
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW