WASHINGTON – Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, pembangunan peluru berpandu nuklear Korea Utara tidak berupaya sampai ke wilayah AS.
AFP melaporkan, Trump, 70, menegaskan demikian di laman Twitter kelmarin, sehari selepas pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un berkata, Pyongyang kini di fasa terakhir untuk melakukan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM).
“Korea Utara baru saja menyatakan ia berada dalam fasa terakhir pembangunan senjata nuklear yang mampu sampai ke sasaran di AS. Ia tidak akan berlaku!” katanya.
Washington telah berikrar tidak akan menerima Korea Utara sebagai kuasa nuklear, namun, Trump sebelum ini tidak menjelaskan pendiriannya tentang negara komunis tersebut.
Beliau juga membangkitkan kemarahan sekutu rapat Korea Utara, China melalui kenyataan di Twitter yang mendakwa Beijing meluaskan kuasa tenteranya dan memanipulasi matang wang.
“China mengaut banyak wang dan kekayaan dari AS menerusi perdagangan berat sebelah tetapi tidak mahu membantu mengenai isu Korea Utara. Baguslah!” katanya.
Bagaimanapun, di sebalik kritikan pedas itu, Trump masih memerlukan bantuan China untuk menangani konfrontasi yang kian memuncak dengan Korea Utara.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW