KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa memberi jaminan The Red Warriors (TRW), akan terus kekal beraksi di Liga Malaysia musim 2017.
Annuar menerusi satu kenyataan di Facebooknya berkata, pihaknya akan sedaya upaya membantu pasukan TRW di tahap liga super, selain berjanji membawa tiga lagi pemain import.
“Walaupun tanpa perlu berbelanja besar tidak bermakna kita tidak boleh mendapatkan pemain antarabangsa yang baik.
“Beri masa sehari dua lagi Insyaallah ada sesuatu yang mengembirakan anda yang setia dan sedikit mengecewakan mereka yang mahu melihat kita gagal.
“Saya harap pemain dan pegawai bersiap sedia, bukan saja esok masih ada, malah Insyaallah esok yang lebih cerah buat TRW 2017,” katanya.
Menurut Annuar, segelintir pihak mentertawa TRW dibelenggu masalah, selain berharap pasukan itu tidak bersaing pada musim ini
Tambahnya, perkara itu tidak akan berlaku sama sekali.
“Ramai cukup gembira bila melihat TRW dilihat “bermasalah”. Tidak hairan kalau “lawan” yang gembira, tapi ada juga “kawan” yang tumpang gembira nampaknya.
“Tapi bagi yang menganggap atau mengharap TRW hilang dari persada liga, mereka bakal kecewa. Kita TIDAK akan membiarkan itu terjadi.
“Setelah jelas semua tidak mahu, Kafa perlulah melipat gandakan usaha, ambil segalanya sebagai pedoman dan sempadan,” katanya.
Kafa sebelum ini memutuskan Skuad TRW akan menarik diri daripada bersaing di Liga Malaysia pada musim depan selepas berdepan krisis kewangan kerana gagal menyediakan RM12 juta.-SuaraTV
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW