Biarpun pertama kali bergelar ibu bapa, pasangan Hanis Zalikha dan Hairul Azreen lebih selesa menjaga anak sulungnya, Yusuf Iskandar sendiri tanpa ada bantuan pembantu rumah. Walaupun terpaksa membawa Yusuf ke pejabat mahupun lokasi pengambaran, Hanis merasakan ia bukan suatu beban kerana pengalaman melihat anak kecil itu membesar di depan mata sangat berharga.
BACA: Hairul Azreen, Hanis Zalikha Selamat Timang Anak Pertama
“Alasan utama saya dan suami tidak menggunakan pembantu rumah adalah kerana mahu menjaga Yusuf sepenuhnya. Biarpun ini kali pertama kami bergelar ibu bapa atau dalam erti kata lain, tiada pengalaman menjaga anak sendiri, ia menjadi ruang untuk kami menimba ilmu keibubapaan. Saya dan suami hendak betul-betul tahu soal perkembangan anak.
“Apa yang boleh, tidak boleh atau apa yang boleh dimakan dan sebaliknya. Bermacam-macam perkara kami mahu tahu dan lalui bersama sebagai ibu bapa. Betapa bertuahnya saya dan suami kerana kehadiran Yusuf melengkapi kehidupan kami. Banyak benda termasuk soal rezeki yang datang sebelum dan selepas kami berkahwin, jadi berganda,” katanya kepada Berita Harian Plus.
Begitu pun, Hanis tidak menolak untuk mengambil bantuan pembantu rumah jika berpeluang memiliki bayi kedua kerana sudah berpengalaman menjaga anak pertamanya. Dalam masa sama, Hanis turut terharu dengan sokongan peminat terhadap keluarga kecilnya termasuk kucing kesayangannya, Bujibu yang juga mendapat perhatian di laman sosial.
Apapun, semua ibu bapa pasti mahukan yang terbaik buat anak-anak mereka. Walau apapun pilihan yang dibuat, pasti setiap ibu bapa mempunyai alasan yang tersendiri. Benarlah kata orang, anak itu adalah punca rezeki. Jika kita menjaga amanahNya dengan sebaiknya, maka balasannya Allah akan memberikan rezeki yang melimpah ruah. (rkty/w)
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW