TULTEPEC – Angka kematian akibat letupan di pasar bunga api terbesar Mexico pada Selasa meningkat kepada 26, kata pihak berkuasa.
Kejadian di pinggir Tultepec itu menyebabkan beberapa letupan dengan kepulan asap tebal pelbagai warna kelihatan di Mexico City.
Pasar berkenaan dipenuhi pelanggan yang membeli piroteknik untuk sambutan Krismas dan perayaan tradisi menjelang hujung tahun.
Krismas dan parti Tahun Baru di kebanyakan negara Amerika Latin kerap diakhiri dengan letupan bunga api.
“Kami menemui 26 mayat di lokasi kejadian,” kata pendakwa raya Mexico, Alejandro Gomez, kepada wartawan. Polis Persekutuan, yang melaporkan angka kematian adalah sembilan, berkata di Twitter bahawa 70 lagi cedera dan dibawa ke bilik kecemasan.
Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran selepas tiga jam. Ketua Perkhidmatan Perlindungan Sivil, Luis Felipe Puente, berkata mereka perlu menunggu letupan berhenti terlebih dahulu.
“Keseluruhan pasar musnah. Beberapa mangsa yang cedera dalam keadaan kritikal dan usaha dijalankan untuk mencari lebih ramai mangsa dalam kawasan yang kelihatan seperti adegan filem selepas kemusnahan dunia,” katanya.
Rumah dan kenderaan yang berada berhampiran juga rosak. Tentera dikerah membantu kru kecemasan memindahkan mangsa ke hospital dengan ambulans dan helikopter.
Presiden Enrique Pena Nieto mengucapkan takziah menerusi Twitter kepada keluarga mangsa yang terbunuh dan berharap mereka yang cedera segera sembuh.
Seorang penduduk tempatan, Alejandra Pretel, memberitahu: “Bunyi letupan bermula dan kami menyangka ia datang dari kedai bunga api berhampiran.
“Beberapa minit kemudian baru disedari pasar berkenaan sudah musnah.
“Jiran saya berkata, mereka berasa semuanya bergoyang tetapi saya tidak sedar kerana melarikan diri,” katanya. – AFP
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW