MUMBAI – Pendakwah terkenal Dr Zakir Naik telah diberikan kerakyatan Malaysia lapor Hindustan Times.
Zakir Naik yang sebelum ini pernah memberi ceramah dan membuat program di sini ditawarkan kerakyatan sebagai pakej buat pendakwah tersebut ketika dianugerahkan gelaran Tokoh Maal Hijrah pada tahun 2013.
Wakil Zakir Naik mengesahkan perkara tersebut mengatakan kini pendakwah tersebut juga merupakan warganegara Malaysia.
“Sudah menjadi dasar kerajaan Malaysia untuk menawarkan kerakyatan kepada penerima Anugerah Kehormat Awam Tertinggi di sini,” katanya kepada Hindustan Times.
Pendakwah tersebut kini didakwa sedang bersembunyi berikutan Yayasan Pendidikan Islam (IRF) beliau telah diharamkan oleh pihak berkuasa India serta dia juga kini disiasat oleh Agensi Kebangsaan India (NIA).
Pihak berkuasa India juga kini sedang memantau pergerakan beliau dan menghalang ahli keluarganya meninggalkan negara tersebut.
Jumaat lalu, Zakir Naik telah mengkritik tindakan pihak berkuasa India mengharamkan organisasi IRF dan tuduhan lain terhadapnya.
Beliau menegaskan bahawa dia sering menyokong keamanan dan mengutuk keganasan semasa membuat ucapan.
Sementara itu, pihak berkuasa Malaysia tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan maklum balas mengenai kerakyatan yang ditawarkan kepada pendakwah tersebut.-Sinar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW