loading...

Pindaan Usul Akta 355 Berbeza RUU Asal

SHAH ALAM– Cadangan pindaan Akta 355 oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah berbeza dengan cadangan rang undang-undang asal, kata peguam, Syahredzan Johan.

 

Beliau berkata, jika sebelum ini Abdul Hadi ingin meminda Akta 355 bagi membenarkan mahkamah syariah mengenakan apa-apa hukuman melainkan hukuman mati, namun kini apa yang dicadangkan olehnya adalah bagi meningkatkan had hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah syariah.

 

“Cadangan Abdul Hadi sebelum ini adalah agar mahkamah syariah mengenakan hukuman tanpa had kecuali membabitkan hukuman mati.

 

“Namun cadangan terkini beliau adalah melibatkan hukuman penjara 30 tahun, denda RM100,000 serta sebatan enam kali,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

 

Syahredzan berkata, semua fatwa, nasihat dan pendapat yang mengatakan bahawa umat Islam wajib menyokong cadangan Hadi tersebut wajar disemak semula memandangkan cadangan pindaan terbaru itu adalah berbeza dengan sebelum ini.

 

Beliau berkata, Abdul Hadi yang juga Presiden Pas tidak menghuraikan cadangan terkini olehnya itu di Parlimen baru-baru ini dan telah menimbulkan banyak tanda tanya.

 

“Sepatutnya, beliau mengambil kesempatan untuk sekurang-kurangnya memberi huraian am tentang pindaannya dan kemudian memohon supaya penganjuran debat dilangsungkan pada sidang akan datang.

 

“Ini penting kerana tanpa huraian, sukar untuk mana-mana pihak berbincang dan berbahas dengan terbuka mengenai cadangan tersebut,” katanya.

 

Dalam pada itu, Syahredzan berkata, perbincangan dan perbahasan yang baru wajar berlangsung berdasarkan cadangan pindaan yang terkini tersebut.

 

Katanya, golongan yang menyokong pindaan harus membenarkan perbincangan dan perbahasan tersebut berlangsung dengan terbuka tanpa sebarang polemik atau hukum dijatuhkan sekiranya ada pihak yang tidak setuju mahu pun membantah.

 

“Walaupun undang-undang ini berkenaan dengan mahkamah syariah, namun ia tetap harus diluluskan oleh Parlimen yang terdiri daripada anggota Islam dan bukan Islam.

 

“Jadi ahli parlimen bukan Islam juga berhak untuk menyertai perbincangan tentang cadangan pindaan oleh Abdul Hadi ini.

 

“Samalah juga rakyat Malaysia tidak kira agama juga berhak untuk mengutarakan pandangan tentang cadangan itu kerana ia adalah pindaan terhadap sesuatu akta digubal oleh Parlimen yang terdiri daripada wakil rakyat Muslim dan bukan Muslim serta mewakili rakyat,” katanya.-Sinar



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...