WASHINGTON – Kempen penuh kontroversi Donald Trump dan kemungkinan hartawan hartanah bermulut celupar itu menjadi Presiden Amerika Syarikat menyebabkan sebahagian rakyat mempertimbangkan untuk berpindah ke Kanada.
Bintang popular seperti Cher dan Lena Dunham sudah menyatakan hasrat mereka berpindah ke utara jika Trump yang terkenal menghina orang Islam dan Mexico, menjadi presiden.
Menurut satu daripada tinjauan pendapat dilakukan Morning Consult/Vox, 28 peratus rakyat Amerika ‘berkemungkinan’ mempertimbangkan untuk berpindah ke negara lain jika Trump menang pada pilihan raya November ini.
Enjin pencarian Google melaporkan, pencarian “bagaimana saya boleh berpindah ke Kanada?” meningkat 35 peratus pada 1 Mac apabila Trump menang pemilihan calon Republikan di tujuh negeri.
Pengaut untung di kedua-dua negara menjadikan keadaan itu sebagai alat pemasaran.
“Tinggalkan negara jika Trump terpilih sebagai presiden? Hubungan saya dan jual rumah anda!” menurut satu iklan hartanah.
Manakala seorang usahawan di Texas mewujudkan laman web temujanji Maple Match yang berjanji membantu rakyat Amerika mencari pasangan ideal di Kanada untuk menyelamatkan mereka daripada bahana pentadbiran Trump. – Agensi