loading...

PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar: BN Turun Sebagai ‘Underdog’ – TPM

GOMBAK – BN akan turun sebagai parti ‘underdog’ pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar walaupun berjaya menawan kerusi tersebut pada pilihan raya umum lepas.

 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana majoriti yang dimenangi BN pada PRU13 tidak begitu selesa untuk parti itu mendabik dada bagi mengekalkan kemenangan.

 

“Kita akan bergerak sebagai parti underdog walaupun kita menang (pada PRU lepas) kerana kemenangan majoriti di Sungai Besar hanya 399 undi dan di Kuala Kangsar hanya 1,082 undi.

 

“Sehubungan itu saya mengingatkan diri saya dan seluruh jentera BN supaya melipatgandakan usaha, bekerja keras dan bukannya hanya melakukan kempen biasa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Rapat Alumni Nusantara dan Pelancaran Jaringan Alumni Nusantara UIAM di Gombak hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya rakyat tidak mengundi BN pada PRK tersebut.

 

Zahid yang juga timbalan pengerusi BN berkata, parti itu perlu menggunakan pendekatan menarik sokongan muda dan undi Melayu.

 

Malah, katanya, beliau tidak menolak akan berlaku pertandingan lebih daripada satu lawan satu di kedua-dua PRK susulan pergaduhan dihadapi parti pembangkang ketika ini untuk memilih parti mana yang akan bertanding dengan BN.

 

“Kita tahu di kedua-dua PKR itu, mungkin kita tidak hanya menghadapi pertandingan dua penjuru sebab kita menghormati keputusan PAS untuk meletakkan calon mereka dan tidak berkompromi untuk menarik diri,” katanya.

 

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor diadakan serentak pada 18 Jun manakala hari penamaan calon pada 5 Jun.

Previous
Next Post »
loading...