KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pemergian Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon berikutan nahas helikopter di Sarawak sebagai kehilangan besar kepada negara.
Perdana Menteri dalam catatan di laman Facebook berkata Allahyarham adalah individu yang sentiasa komited di dalam tugasnya dan masih setia berkhidmat sehingga ke hembusan nafas terakhir.
“Saya berkongsi kesedihan ini bersama ahli keluarga dan seluruh rakyat Malaysia.
“Takziah kepada keluarga beliau. Semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Perdana menteri berkata usaha mencari dan menyelamat mereka yang masih hilang sedang diteruskan.
“Perkembangan seterusnya akan diumumkan dalam masa terdekat,” kata Najib.
Noriah merupakan mangsa pertama yang ditemukan selepas pesawat Eurocopter AS350 yang dinaiki bersama lima lagi dari Betong ke Kuching, hilang petang semalam.
Jasadnya ditemukan di kawasan pencarian awal helikopter terbabit di Sungai Batang Lupar dekat Sebuyau, tengah hari semalam.
Selain Noriah, turut menaiki helikopter sama ialah suaminya Asmuni Abdullah dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar, yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas turut menaiki pesawat malang itu. – BERNAMA